Jangan berjuang sendirian antara tip buat mangsa gangguan seksual


  • Massa
  • Selasa, 06 Sep 2022

Mangsa perlu berani untuk tampil membuat laporan polis dan cuba untuk mendapatkan sokongan daripada NGO agar tindakan dapat segera diambil.

JENAYAH serangan seksual melibatkan ahli keluarga sendiri nyata satu perkara yang tidak boleh dimaafkan lebih-lebih lagi apabila perkara terkutuk itu dilakukan oleh bapa, abang, datuk, bapa saudara, adik lelaki mahupun individu terdekat lain.

Tentu sahaja perbuatan tersebut dianggap sebagai harapkan pagar, pagar makan padi. Darah daging sendiri sanggup diperlakukan sedemikian hanya kerana ingin memenuhi kehendak nafsu serakah.

Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Suriati Sidek perkara tersebut akan memberi kesan jangka panjang kepada mangsa sekali gus membentuk ketidakyakinan dalam diri.

“Perkara itu akan mengganggu pertumbuhan kanak-kanak dan akan mempengaruhi pemikiran, kepercayaan terhadap individu di sekitar. Tentu sahaja mereka akan tersalah erti dengan mengatakan perbuatan terbabit sebagai cara untuk mempamerkan rasa sayang.

“Apabila menyedari perbuatan tersebut satu kesalahan, mereka akan berasa takut untuk menolak dan memilih mendiamkan diri sebagai cara terbaik. Kesannya kanak-kanak itu akan terus menjadi mangsa kerakusan individu yang seharusnya menjadi pelindung dan bukannya ancaman,” katanya kepada Majoriti.

Dr Suriati turut memberitahu mangsa juga akan hilang rasa hormat kepada ahli keluarga dan mempamerkan reaksi memberontak yang dalam masa sama sukar untuk mempercayai individu di sekelilingnya.

“Mangsa akan sukar untuk mempercayai orang lain atau membina hubungan baharu terutamanya dengan lelaki dan mengakibatkan anxiety jika tidak mendapat sokongan yang sepatutnya oleh masyarakat,” jelasnya.

Untitled design (10)

Dr Suriati Sidek

Pensyarah ini juga menggariskan beberapa faktor yang menjadi punca seseorang mangsa itu lewat melaporkan kejadian jenayah gangguan seksual.

Keselamatan. Mangsa ingin melindungi diri sendiri daripada suspek bertindak agresif mahupun individu yang dekat dengannya. Mangsa mungkin bimbang perkara sama turut berlaku kepada orang lain.

Kepercayaan. Mangsa mungkin berasa kurang yakin mahupun berasa ragu-ragu sama ada individu di sekeliling akan mempercayainya atau tidak sekiranya mendedahkan perkara sebegitu.

Kurang pengetahuan. Mangsa tidak mengetahui apakah yang perlu dilakukan sekiranya menjadi mangsa. Sekiranya mangsa masih berusia kanak-kanak sekitar lima hingga lapan tahun, mereka mungkin masih belum dapat memahami apakah yang dimaksudkan dengan serangan seksual.

Aib keluarga. Demi melindungi dan menjaga nama keluarga, mangsa memilih untuk tidak menceritakan kepada individu lain mahupun mendedahkannya kepada umum.

Mendapatkan sokongan

Untitled design (9)

Muhamad Akmal Arif Shamsul Kahar

Sementara itu, peguam, Muhamad Akmal Arif Shamsul Kahar daripada tetuan Akmal Shamsul Kahar & Co turut menyifatkan perkara tersebut tidak seharusnya berlaku dalam institusi keluarga.

Beliau turut terlibat dengan perjuangan Justice For Bella yang didakwa menjadi mangsa dera kepada pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali.

Katanya, perkara itu melibatkan pengabaian ibu bapa terhadap tanggungjawab mereka sekali gus menafikan hak anak-anak yang memerlukan perlindungan dan penjagaan keselamatan sewajarnya.

“Terdapat banyak faktor yang mungkin mengakibatkan mangsa lewat untuk membuat laporan. Mungkin kerana perkara tersebut sudah lama berlaku atau tidak tahu bagaimana untuk melaporkannya,” ujarnya.

Perkara tersebut turut dikaitkan dengan kenyataan pelakon remaja yang mendakwa menjadi mangsa ganggun seksual oleh bapanya ketika di usia kanak-kanak.

Pendedahan itu secara tidak langsung membuatkan Muhamad Akmal daripada tetuan Akmal Shamsul Kahar & Co (ASKCO) meluahkan hasratnya untuk membantu pelakon terbabit dengan cara menawarkan perkhidmatan peguam pro bono.

Oleh itu Muhamad Akmal menyarankan agar mangsa mengambil langkah bijak bagi melaporkan perkara tersebut sekali gus mengheret suspek ke muka pengadilan.

  1. Laporan polis. Setelah kejadian itu berlaku, segera membuat laporan polis dan cuba dapatkan nasihat daripada mereka apakah tindakan seterusnya yang perlu dilakukan.
  2. Sokongan NGO. Setelah membuat laporan polis cuba dapatkan sokongan daripada pihak Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) untuk meraih lebih perhatian dan tindakan segera dapat diambil. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram