Didakwa rogol kekasih, polis reman 2 pelajar, seorang kelindan lori di Kota Bharu


  • 112
  • Selasa, 06 Sep 2022

Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan. — Gambar Hiasan

BAGI membantu siasatan kes rogol membabitkan tiga pelajar sebuah sekolah menengah di Kota Bharu, Kelantan, polis menahan tiga lelaki termasuk dua pelajar Tingkatan Lima.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, penahanan kesemua suspek itu susulan laporan yang diterima pihaknya berkait kes berkenaan pada 2 dan 3 September lalu.

Menurutnya, dua daripada kejadian dilaporkan berlaku di kawasan sekolah yang sama tetapi melibatkan mangsa dan suspek berbeza.

"Mereka yang ditahan merupakan dua pelajar dan seorang kelindan lori berumur 19 tahun.

"Siasatan awal mendapati kejadian dilakukan secara sukarela bersama pasangan kekasih masing-masing," katanya melalui kenyataan pada Selasa.

Tambahnya, hasil ujian urin juga mendapati kesemua suspek negatif dadah dan tiada rekod lampau.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

"Bagi Seksyen 376 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara lapan hingga 30 tahun dan sebatan manakala Seksyen 377C Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun serta sebatan," katanya.

Mohd Rosdi memberitahu, polis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan negeri dan Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga akan melaksanakan pelbagai usaha termasuk kempen kesedaran jenayah.

Selain itu katanya, peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga perlu bagi menangani jenayah seksual dalam kalangan pelajar sekolah.

"Kita juga menasihatkan ibu bapa memantau kegiatan anak-anak mereka supaya kejadian seperti ini dapat dielakkan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram