Wanita bunuh bayi dituduh Isnin depan, polis giat cari suami suspek


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner,  Mohamad Farouk Eshak.

SEORANG wanita warga tempatan yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes kematian bayi lelaki berusia enam bulan baru-baru ini, akan dituduh di Mahkamah Ampang, Isnin depan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner, Mohamad Farouk Eshak berkata, wanita berusia 34 tahun yang juga ibu kepada bayi malang itu akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Polis sedang giat mengesan seorang lagi individu yang masih bebas iaitu suami suspek, Mohamad Ruzem yang merupakan warga Indonesia berusia 31 tahun untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pada Sabtu lepas, pegawai perubatan Hospital Tunku Azizah telah menerima pesakit seorang bayi lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat muntah dan sawan namun telah disahkan meninggal dunia pada pukul 4.30 petang Isnin lepas.

Hasil pemeriksaan mendapati kesan lebam di bahagian paha kanan dan kening mangsa, disyaki berlaku unsur penderaan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Polis, ibu, bunuh, bayi lelaki, dituduh