Pelanggan maut ketika rawatan di rumah, pengamal perubatan tradisional berdepan hukuman mati


Hong Chiew (depan) dibawa ke Mahkamah Majistret Ampang pada Selasa, atas tuduhan membunuh seorang wanita di rumahnya, bulan lepas. — Sinar Harian 

SEORANG pengamal perubatan tradisional dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang di Kuala Lumpur pada Selasa, atas pertuduhan membunuh seorang wanita yang datang mendapatkan rawatan di rumahnya, bulan lepas.

Che Hong Chiew, 51, yang kelihatan tenang sepanjang prosiding, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Amalina Basirah Md Top.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada wanita itu kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Hong Chiew didakwa menyebabkan kematian Lim Sin Lue, 41, di ruang tamu rumahnya di Jalan Perdana 2/20, Pandan Perdana di Kuala Lumpur, antara pukul 4.45 petang hingga 5 petang, 27 Julai lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendawa Raya Annur Athirah Amran manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 13 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Pada 28 Julai lalu, media melaporkan, seorang wanita ditemukan terbaring tidak sedarkan diri di ruang tamu rumah teres di Pandan Perdana, Ampang, Kuala Lumpur oleh ibunya selepas menerima rawatan tradisional. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram