Mekanik didakwa bunuh teman wanita di Klang


Tertuduh hanya mengangguk faham ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Noorjidah Mohd Jusan. — Bernama

SEORANG remaja berusia 19 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Klang pada Selasa atas pertuduhan membunuh teman wanitanya dalam kejadian pada minggu lepas.

Tertuduh, Amirul Amin Amirruddin didakwa membunuh Nurul Shahira Abdullah, 24, di sebuah rumah di Lorong Haji Mahat, Kampung Sri Pandan, Klang kira-kira pukul 7.18 malam pada 24 Ogos lepas.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi dan tertuduh hanya mengangguk faham ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Noorjidah Mohd Jusan.

Amirul Amin yang juga bekerja sebagai mekanik didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hanis Zulkapli, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Norazihan Adnan dan Althea Suraya Rahmat.

Mahkamah menetapkan 26 Oktober depan untuk sebutan semula kes bagi serahan laporan bedah siasat, forensik dan asid deoksiribonukleik (DNA).

Pada 25 Ogos lepas, Ketua Polis Klang, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong melaporkan seorang wanita berusia 24 tahun ditemukan mati dipercayai akibat ditekup menggunakan bantal oleh kekasihnya di sebuah rumah di Kampung Sri Pandan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram