
TAKTIK penyeludup cuba memperdayakan pihak berkuasa dengan menyembunyikan bir seludup bernilai lebih RM600,000 di sebuah rumah kampung di daerah separa luar bandar Tamparuli, kira-kira 40 kilometer (KM) dari Kota Kinabalu, Sabah ternyata tidak berhasil.
Muslihat mereka terbongkar apabila pegawai Kastam menyerbu rumah tidak bernombor di Jalan Tamparuli Togop pada 24 Ogos lalu.
Ketua Penolong Pengarah Kastam Sabah, Cheong Yu Min berkata, dalam operasi pukul 8 malam itu, anak buahnya menemui kira-kira 31,000 liter barangan terlarang itu disimpan dalam tiga lori yang diletakkan di perkarangan rumah tersebut.
“Susulan pemeriksaan itu, kami menemui pelbagai jenis minuman beralkohol bernilai RM123,450 dengan anggaran cukai belum dibayar sebanyak RM495,849,” katanya dalam sidang media di Kota Kinabalu pada Jumaat.
Beliau berkata, tiada tangkapan dibuat kerana rumah itu tidak berpenghuni dan berkunci, sambil menambah mereka terpaksa memecah pintu untuk masuk ke dalam rumah.
“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967,” katanya.
Yu Min menggesa orang ramai untuk terus membantu Jabatan Kastam dalam usaha membanteras kegiatan penyeludupan terutamanya melibatkan rokok, mercun, kenderaan dan dadah.
Pada masa yang sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dalam kegiatan jenayah seperti itu.
Hal itu kerana, ia bukan sahaja merugikan hasil negara, malah boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesejahteraan masyarakat.
Beliau menggesa orang ramai supaya melaporkan sebarang aktiviti penyeludupan ke nombor bebas tol jabatan di 1-800-88-8855 atau pejabat Kastam berhampiran.
“Jabatan memberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram