SEORANG kanak-kanak berusia setahun maut ditimpa hujan batu besar berukuran empat inci atau 10.16 sentimeter (cm) ketika ribut buruk melanda Sepanyol.
Lapor Daily Mail, kanak-kanak perempuan itu merupakan antara 67 mangsa yang terlibat dalam kejadian hujan batu di bandar Catalan, La Bisbal de l’Emporda, Sepanyol.
Kanak-kanak itu pada awalnya dikejarkan ke Hospital Josep Trueta di Girona, Sepanyol namun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan teruk pada bahagian kepala.
Seorang wanita turut berada di hospital sama kerana kecederaan dialaminya akibat kejadian berkenaan.
Sebahagian besar mangsa yang mendapatkan rawatan dikatakan turut mengalami kecederaan di kepala atau luka sehingga memerlukan jahitan serta patah tulang.
Banyak kereta dan bangunan turut rosak akibat bebola ais keras sebesar bola tenis dalam kejadian itu.
Sementara itu, jabatan meteorologi Catalan memaklumkan kejadian hujan batu di kawasan berdekatan bandar pelancongan Girona, berhampiran sempadan Sepanyol dengan Perancis, adalah paling buruk pernah berlaku dalam tempoh 20 tahun.
Jelas jabatan itu, hujan lebat bermula kira-kira pukul 7.30 malam (waktu tempatan) pada Selasa lalu dan kanak-kanak itu ditimpa hujan batu beberapa minit kemudian.
Dilaporkan, ribut hujan batu berlarutan sekitar 15 minit.
Setakat ini, kewarganegaraan kanak-kanak itu dan lokasi tepat mangsa ketika terkena hujan batu masih belum diketahui.
Akhbar tempatan Sepanyol melaporkan anggota bomba menerima lebih 40 panggilan kecemasan disebabkan oleh kerosakan berbeza pada bangunan dan pendawaian. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram