Polis buka siasatan, pengadil berat sebelah kena serang penyokong bola Kelantan


  • 112
  • Rabu, 31 Ogos 2022

Tangkap layar seorang pengadil sedang dikejar oleh beberapa individu dalam padang yang tidak berpuas hati dengan keputusannya Ahad lepas.

DETIK cemas menyelubungi suasana perlawanan bola sepak di Stadium Mini Pasir Mas, Pasir Mas, Kelantan apabila beberapa lelaki dilihat ingin menyerang pengadil perlawanan pada Ahad.

Semuanya gara-gara kerana kumpulan penyokong berkenaan tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat oleh pengadil berkenaan.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan terhadap insiden berkenaan selepas video berdurasi 39 saat itu tular apabila dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook Kongsi Segala Info.

"Dalam insiden berkenaan tiada sebarang kecederaan dialami oleh kedua-dua belah pihak yang terlibat," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, bagaimanapun insiden tersebut telah berjaya dileraikan secara aman oleh anggota unit kereta peronda polis (MPV) yang secara kebetulan berada di kawasan berkenaan semasa kejadian.

Menurutnya, video berdurasi 39 saat itu memaparkan beberapa orang lelaki sedang mengasari pengadil perlawanan dalam pertandingan bola sepak antara mukim dalam daerah Pasir Mas.

Mohd Nasaruddin berkata, polis menasihatkan kepada orang ramai supaya sentiasa mengamalkan semangat kesukanan yang tinggi dalam menghadiri apa jua jenis perlawanan sukan yang dianjurkan.

"Hal ini bagi mengelakkan sebarang kecederaan atau kesalahan yang lebih serius daripada berlaku pada masa akan datang.

"Orang ramai juga dinasihati supaya tidak mudah menyebarkan sebarang berita atau perkara yang tidak pasti bagi mengelakkan kebimbangan dan salah faham dalam kalangan orang awam," katanya.

Beliau berkata, sekiranya terdapat maklumat berhubung sesuatu insiden jenayah, orang ramai diminta supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di talian 09-793 2222 atau mana-mana balai polis yang berdekatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram