‘Penyewa dari neraka’, buat rumah macam bapak dia punya


  • Tular
  • Rabu, 31 Ogos 2022

Pemilik rumah itu mendakwa rumahnya ditinggalkan dalam keadaan kotor dan bersepah.

SEORANG pemilik rumah di pangsapuri Mentari Court, Petaling Jaya meluahkan rasa kecewa setelah melihat keadaan rumahnya yang ditinggalkan dalam keadaan rosak dan kotor.

Menerusi satu video tular sejak Selasa yang dimuat naik oleh pemilik rumah tersebut dalam akaun TikTok bosjeff, dia mendakwa bekas penghuni yang menyewa rumahnya sebagai seorang yang tidak bertanggungjawab.

"Penyewa dari 'neraka', sabar saya pun ada tahapnya. Saya tak kisah bangsa atau agama apa, yang penting mestilah bertanggungjawab.

"Sudah lama saya pendam perkara ini tapi sampai satu tahap saya terpaksa kongsi.

"Kalau jadi pada kamu, apa yang kamu akan lakukan?," tulisnya.

Difahamkan penyewa terbabit baru saja meninggalkan rumah tersebut sebulan yang lalu.

Dalam video berkenaan turut menunjukkan sampah bertaburan di setiap pelusuk lantai rumah dan perabot juga dalam keadaan yang tidak tersusun.

Karpet plastik di dalam rumah itu turut kelihatan koyak dan ada beberapa barang pemilik rumah tersebut rosak.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet bersimpati dengan kejadian yang menimpa pemilik rumah itu dan memintanya untuk berhati-hati di masa kan datang.

"Kesiannya dapat penyewa macam ini. Kalau saya ken pun saya sedih.Selepas ini perlu berhati-hati dalam memilih penyewa," kata Tam.

"Dia buat rumah macam zoo ke?," tanya Yoci.

Seorang lagi pengguna media sosial, Kumar menasihatkan pemilik rumah tersebut untuk membuat perjanjian dengan penyewa terlebih dahulu sebelum menyewakan rumah.

"Senang saja, selepas ini abang buat perjanjian atas kertas. Bila penyewa nak keluar dan kerosakan, kerosakan di rumah akan jadi tanggungjawab penyewa," katanya.

Menurut pemilik rumah berkenaan, pihaknya juga cuba untuk menghubungi penyewa tersebut namun gagal.

Pihaknya juga akan membuat tindakan lanjut bagi menuntut penjelasan daripada penyewa terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram