Ingatkan ‘mini love’, gelagat budak lelaki tersilap tunjuk isyarat lucah cuit hati pengunjung Dataran Merdeka


  • Tular
  • Rabu, 31 Ogos 2022

Gelagat seorang kanak-kanak lelaki secara tidak sengaja menunjukkan isyarat jari tengah mencuit hati pengunjung di Dataran Merdeka.

SAMBUTAN Hari Kebangsaan pada tahun ini diraikan dengan meriah di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur dengan pelbagai aktiviti termasuk perarakan lintasan kontinjen membabitkan unit petugas barisan hadapan dan orang awam yang melambangkan Keluarga Malaysia.

Perarakan itu turut disertai pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira peringkat umur daripada kanak-kanak hinggalah warga emas.

Namun apa yang mencuit hati ialah gelagat seorang peserta cilik yang mengikuti perbarisan bomba pada pagi Rabu.

Dalam satu video yang dimuat naik oleh pengguna Twitter @lizasdaughter memaparkan seorang kanak-kanak lelaki secara tidak sengaja menunjukkan isyarat jari tengah ketika mahu membuat isyarat 'mini love'.

"Mini love turn out wrong. I'm dead," ciapnya.

Dalam video itu menunjukkan kanak-kanak lelaki yang lengkap berpakaian seragam bomba sedang berada di atas sebuah bot dan kelihatan melambai-lambai kepada para pengunjung yang berada di dataran itu.

Dia kemudiannya dilihat cuba untuk menunjukkan isyarat mini love namun tersilap.

Seorang anggota bomba yang berada di atas bot sama cepat-cepat membetulkan jari budak lelaki tersebut.

Gelagat mereka berdua menerima sorakan gemuruh daripada orang ramai yang berada di tempat itu.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet terhibur dengan aksi yang ditunjukkan kanak-kanak itu.

"Insiden yang tidak disengajakan itu akan meninggalkan kenangan pada kanak-kanak tersebut. Terima kasih adik kerana menyertai perbarisan ini," kata @ElizaNoordin.

"Maaf saya ketawa, tapi lucu. Nasib baik abang bomba cepat-cepat tolong betulkan jari dia. Satu Malaysia sudah kenal adik," ciap @aim sambil menunjukkan emoji ketawa.

Bertemakan 'Keluarga Malaysia Teguh Bersama', seramai lebih 20,000 peserta, 369 aset darat dan 68 aset udara dari pelbagai pihak serta 76 haiwan terbabit dalam acara perbarisan dan perarakan pada sambutan kali ini. —Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram