13 lokasi Kuala Selangor berdepan risiko banjir akibat air pasang 3 hari


  • Primer
  • Rabu, 31 Ogos 2022

13 lokasi di daerah Kuala Selangor dikenal pasti berisiko banjir ekoran fenomena air pasang besar.  — Gambar Hiasan

PENGERUSI Jawatankuasa Bencana Daerah Kuala Selangor, Mohd Raiz Radzuan mengumumkan sebanyak 13 lokasi di daerah Kuala Selangor, Selangor dikenal pasti berisiko banjir ekoran fenomena air pasang besar yang diramal berlaku selama tiga hari bermula 9 September depan.

Menurut beliau, kawasan terbabit berpotensi tinggi mengalami banjir sekiranya hujan berterusan bertembung dengan fenomena air pasang besar.

"Kami dan pelbagai agensi lain sudah bersiap siaga sepenuhnya menghadapi sebarang kemungkinan terutama cuaca tidak menentu ketika ini," katanya ketika ditemui pada program Merdeka Ride dan Kibar Jalur Gemilang di Puncak Alam, Kuala Selangor, Selangor pada Rabu.

Mohd Raiz yang juga Pegawai Daerah Kuala Selangor berkata, semua jawatankuasa terlibat termasuk ketua kampung akan menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa selama 24 jam sepanjang tiga hari fenomena itu.

Jelas beliau, aspek kesiapsiagaan itu turut meliputi logistik dan aset menyelamat serta pemindahan mangsa banjir.

Beliau memberitahu, sebanyak enam lokasi di Jeram berpotensi berlakunya banjir akibat fenomena air pasang besar.

"Kawasan terbabit melibatkan Tambak Jawa, Pantai Remis, Pantai Jeram, Kampung Sungai Janggut, Kampung Sungai Sembilang dan Pekan Sungai Buloh," ujar Mohd Raiz.

Menurut beliau, kawasan lain pula meliputi Kampung Sungai Yu, Pekan Tanjong Karang, Parit 4 Sekinchan, Bagan Pasir Tok Adam dan Pekan Kuala Selangor.

Katanya, lebih 20 pusat pemindahan sementara (PPS) dalam keadaan bersedia untuk dibuka sekiranya banjir buruk melanda daerah berkenaan.

"Saya menasihatkan penduduk sentiasa bersiap sedia dan mematuhi semua arahan pihak berkuasa sekiranya diarah berpindah," katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram