Menteri Sabah pengsan ketika berucap, disyaki terlalu letih


  • Primer
  • Sabtu, 27 Ogos 2022

Jahid ketika berucap pada program Yayasan PETRONAS di Pitas, sebelum dikejarkan ke hospital apabila tiba-tiba lemah dan tidak sihat. — Facebook

KEADAAN Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim yang pengsan ketika menyampaikan ucapan pada satu majlis di Pitas, Kota Kinabalu, Sabah kini dilaporkan stabil.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Joniston Bangkuai berkata, beliau dimaklumkan Jahid, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli dipercayai mengalami keletihan melampau.

Beliau yang juga ADUN Kiulu itu berkata, Jahid berada di Pitas untuk merasmikan sebuah projek berkaitan bekalan air yang juga sebuah projek tanggungjawab sosial korporat sebuah syarikat berkaitan kerajaan.

"Beliau dikejarkan ke Hospital Pitas untuk mendapatkan rawatan dan kini dalam keadaan stabil," katanya pada Sabtu.

Terdahulu, tular di beberapa kumpulan aplikasi WhatsApp meminta ahli Parti Bersatu Sabah (PBS) mendoakan kesihatan Jahid, 64, juga Timbalan Presiden parti itu dengan menunjukkan gambar Jahid yang sedang dirawat di hospital. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram