Identiti 4 mangsa maut nahas LPT1 dikenal pasti termasuk suami isteri, pemandu kontena ditahan


  • 112
  • Sabtu, 27 Ogos 2022

Nahas yang mengorbankan empat nyawa itu dipercayai berlaku pada pukul 3.10 pagi tadi. — Facebook

KETUA Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusoff mendedahkan bahawa identiti empat mangsa maut dalam kemalangan di Kilometer 135.7 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) menghala Kuantan, Pahang awal pagi Sabtu telah dikenal pasti.

Mereka ialah penumpang Proton Exora, Mohamed Shamsuddin, 75, isterinya Kamariah Hamzah, 72, serta seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dikenali sebagai Danis, serta pemandu trak tunda Mohd Azuan Zainal Abidin, 53.

Mohd Azhar berkata, kemalangan yang melibatkan empat buah kenderaan itu dipercayai berlaku pada pukul 3.10 pagi Sabtu.

Kemalangan itu juga menyebabkan lapan lagi penumpang Proton Exora itu yang berusia antara dua hingga 30 tahun cedera.

Sementara itu, pemandu kereta Proton Waja yang berusia 36 tahun koma, manakala dua anak perempuannya berusia 11 dan lima tahun cedera ringan dan isterinya, 36, tidak mengalami kecederaan.

"Pemandu lori (kontena) berusia 56 tahun dan berasal dari Kedah, juga cedera ringan dalam kemalangan tersebut dan kini ditahan bagi membantu siasatan," katanya menerusi sebuah kenyataan.

Mohd Azhar berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah lori kontena melanggar ketiga-tiga kenderaan terbabit (Proton Exora, Proton Waja dan trak tunda) yang berada di lorong kecemasan.

"Lori kontena dipercayai merempuh trak tunda yang semasa itu dalam proses menaikkan Proton Exora untuk ditunda," katanya.

Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang melihat kejadian diminta datang ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Mayat mangsa dan semua yang cedera dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Termerloh, Pahang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram