Kasih tiada tandingan, ibu nekad selamatkan 2 anak lepas kena rempuh van


  • Tular
  • Jumaat, 26 Ogos 2022

Tangkap layar menunjukkan kemalangan yang mengakibatkan seorang wanita dan dua orang anaknya terbabas di tengah jalan raya.

KASIH seorang ibu tiada tandingannya jika dibandingkan dengan mana-mana insan di muka bumi ini kerana mereka sanggup bergadai nyawa demi memastikan keselamatan anak-anak.

Situasi ini boleh digambarkan menerusi perkongsian video tular di laman Facebook baru-baru ini yang memaparkan kemalangan melibatkan seorang wanita dan dua lagi anaknya.

Kejadian itu yang berlaku di Jalan Yaakob Latif berhampiran Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur, melihatkan kasih sayang seorang ibu yang tangkas menyelamatkan anaknya sebaik sahaja dilanggar sebuah van di simpang jalan raya.

Akibat daripada pelanggaran itu, motosikal yang ditunggang terjatuh di tengah jalan raya dan ketiga-tiga mangsa dilihat terkulai di lokasi kejadian.

Berdasarkan rakaman video, kemalangan dikatakan berpunca daripada kecuaian pemandu van itu kerana tidak memperlahankan kenderaan ketika di simpang, walhal mangsa sememangnya berada di laluan yang betul.

Menerima pelbagai reaksi dan komen daripada netizen, rata-ratanya meluahkan kemarahan kepada pemandu van tersebut yang dianggap kurang bijak dalam pemanduan.

Khalid Al Walid: "Van tu patut beri laluan dulu kepada motosikal tu, ini la akibatnya kalau tak tahu peraturan lalu lintas jalan raya."

ABD Rahman Kasim: "Bila dah rasa besar, yang kecik buat tak nampak je.. cuba kalau lori besar yang lalu tau pulak dia takut, apa punya pemandu la takda tanggungjawab pada persekitaran."

Hafidz Al-Hadi: "Main redah je van tu, tak berhenti pun.. kita sebagai penunggang motosikal memang kena tengok keliling sebab orang macam ni akan ada."

Namun, kesemua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan ketiga-tiga mereka dilihat memakai topi keledar ketika dalam perjalanan.

Tersentak dengan kemalangan itu, orang ramai turut memberikan pertolongan kepada mereka dan rata-ratanya dibantu oleh penunggang motosikal yang kebetulan berada di lokasi berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram