Macam kena pukau, warga asing 'songlap' duit di pasar raya dengan cara halus


  • Tular
  • Khamis, 25 Ogos 2022

Tangkap layar menunjukkan taktik penipuan yang cuba dilakukan oleh suspek kes curi sebuah pasar raya di Pahang.

TULAR di laman media sosial apabila warga asing dipercayai menggunakan ilmu silap mata ataupun pukau bagi melarikan sejumlah wang berjumlah RM500 di sebuah pasar raya yang terletak di Pahang baru-baru ini.

Kejadian berlaku di Pasaraya Pantai Selamat Muadzam Shah, Pahang itu boleh dilihat menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang memaparkan betapa liciknya taktik penipuan yang dimainkan oleh kedua-dua suspek itu.

Suspek yang dipercayai merupakan warga asing pada asalnya datang ke pasar raya untuk membeli makanan ringan, namun situasi mula berubah apabila dia mula meminta untuk membuat penukaran wang di kaunter bayaran.

Suspek mengeluarkan wang sebanyak RM1000 untuk ditukarkan kepada pecahan yang lebih kecil dan mula mempamerkan taktik penipuannya apabila dia secara perlahan-lahan memasukkan sebahagian daripada wang yang diterima ke dalam poket seluar.

Mengulas lanjut isu itu, pengurus pasar raya Jason Goh, 50, memaklumkan bahawa kejadian itu berlaku dengan begitu pantas dan juruwang di kaunter juga mengalami kekeliruan dalam menguruskan urusan penukaran wang seperti diminta.

"Asalnya dia datang ke kaunter untuk beli gula-gula, tetapi selepas itu dia minta untuk tukar wang RM1,000 dengan pecahan RM50.

"Selepas juruwang selesai membuat pertukaran wang, dia mula mempamerkan taktik penipuan dengan sekali lagi meminta untuk menukarkan wang RM500 kepada duit pecahan RM50.

"Bermula detik itu, dia telah mengambil wang pecahan RM500 yang diterima dengan memasukkan ke dalam poket seluarnya dan seorang lagi rakannya pula tampil ke kaunter untuk mengalihkan perhatian juruwang," katanya kepada Majoriti.

Akibat daripada desakan yang diberikan oleh seorang lagi suspek, juruwang dikatakan telah keliru dan terus menjalankan tugas di kaunter tanpa membuat kiraan semula.

Selesai isu pertukaran wang, kedua-dua suspek dilihat meninggalkan pasar raya dengan serentak dan menggunakan laluan jalan yang sama menuju ke sebuah destinasi tidak diketahui.

Tangkap layar menunjukkan kedua suspek dilihat beredar dari pasar raya berkenaan dengan serentak.

Menurut laporan diterima, kejadian yang serupa pernah berlaku di beberapa buah pasar raya lain berhampiran kawasan itu dan kedua suspek berkenaan kekal menggunakan taktik yang sama.

Tambah Jason, dia bagaimanapun tidak melaporkan kes kecurian itu kepada pihak polis berikutan jumlah wang yang diambil tidak mendatangkan kerugian yang begitu besar kepada pasar raya itu.

Namun dia berharap agar perkongsian video rakaman itu mampu memberi kesedaran kepada pekerja dan pengurus di pasar raya lain berhampiran kawasan ini agar lebih peka dengan kes kecurian sedemikian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram