'Apa hal marah, cakap elok-elok la', penduduk bengang pak guard warga asing 'sound' buku rekod basah akibat hujan lebat


  • Tular
  • Khamis, 25 Ogos 2022

Tangkap layar menunjukkan tindakan pengawal keselamatan yang meninggikan suara pada salah seorang penduduk di kondominium sekitar Puchong.

KECOH apabila seorang penduduk di kediaman kondominium KOI Kinrara, Puchong di Selangor apabila dimarahi dan dimaki oleh pengawal keselamatan bertugas gara-gara meninggalkan kesan basah pada buku rekod penduduk.

Insiden itu tular di laman media TikTok apabila lelaki berkenaan difahamkan tidak berpuas hati dengan layanan dan kata-kata kesat yang dilemparkan oleh pengawal bangsa asing itu.

Berdasarkan rakaman video, pengawal berkenaan bertindak sedemikian kerana buku catatan rekod penduduk di kediaman itu dikatakan telah basah gara-gara lelaki tersebut.

Bengang dengan tindakan biadab pengawal terbabit, lelaki berkenaan lantas meninggikan suara kepadanya dengan kata-kata kecaman dan kemarahan.

"Awak cakap baik-baik sikit tau, datang sini kerja buat cara elok-elok.

"Saya datang tempat orang kerja pun cakap elok-elok bukannya marah sesuka hati," katanya.

Bagaimanapun, lelaki berkenaan mendakwa kejadian tersebut tidak disengajakan kerana kejadian berlaku ketika hujan lebat, dan pengawal berkenaan yang sepatutnya dipersalahkan kerana tidak berada di pondok pengawal.

Jelas lelaki itu yang dikenali sebagai Amirol, pengawal warga asing itu hanya duduk diam dalam bilik kaca berhawa dingin tanpa mempedulikan kehadirannya yang dalam keadaan basah lencun.

"Waktu tu hujan lebat, ada meja sepatutnya dia duduk situ jaga orang keluar masuk untuk tulis nama pada buku rekod.

"Saya datang situ turun motosikal dah nampak saya tapi masih duduk dalam bilik cermin, apabila dah habis tulis, dia tinggikan suara pada saya sebab tulis dalam keadaan basah," katanya.

Tambahnya lagi, tugas pengawal sepatutnya sentiasa berjaga di lokasi yang ditetapkan bukannya tidur di dalam bilik kaca tanpa berbuat apa-apa.

"Sepatutnya dia duduk dekat meja tu sebab itu memang kerja dia, kalau duduk dalam bilik kaca tu main telefon dan tidur je baik tak payah," katanya.

Kejadian itu dilaporkan telah pun diselesaikan secara baik oleh kedua-dua belah pihak dan tiada laporan polis yang dibuat berkenaan hal ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram