BELUM reda kehilangan misteri seorang warga emas, Painah Siwan, 79, yang dilaporkan hilang di Kampung Parit Sayang, Senggarang, Johor pada awal bulan Ogos lalu, terkini satu kejadian yang sama berlaku pada seorang lelaki berusia 81 tahun dari Sarawak.
Kehilangan lelaki tersebut turut dikaitkan dengan alam mistik yang terselindung di sebalik pandangan manusia biasa.
Perkara itu dikongsikan seorang pengguna TikTok, rudydennis menerusi satu video yang dimuat naik dalam platform tersebut.
Dalam video itu, Rudy menceritakan lebih lanjut kes kehilangan seorang warga emas berbangsa Iban di Perkampungan Perhutanan Kemuyang, Sibu, Sarawak.
"Mangsa hilang pada 20 Ogos lalu di kawasan hutan kampung tersebut," katanya.
Rudy mendakwa mangsa disembunyikan di satu kawasan hutan dan tempat itu telah disahkan sendiri oleh enam bomoh yang cuba mencari warga emas itu.
Menariknya, Rudy turut berkongsi satu video yang menunjukkan cucu warga emas itu seakan-akan dirasuk makhluk halus.
Makhluk halus itu mendakwa dia adalah datuk kepada cucu tersebut dan semua orang di dalam rumah tersebut tidak dapat melihat di mana dia berada.
"Kakak (cucu) saja yang dapat lihat aku.
"Aku hanya nak bagitahu mana tempat aku berada, bukan nak sakitkan cucu aku," kata 'makhluk halus' itu menerusi cucu perempuan tersebut.
Satu lagi video menunjukkan gadis tersebut berada di sebuah kawasan hutan dalam keadaan menjerit seperti dirasuk ketika mencari datuknya yang hilang.
Meskipun sudah masuk hari kelima, mangsa masih belum ditemui dan usaha mencari diteruskan penduduk kampung.
Tambah Rudy dalam video tersebut, kejadian itu belaku di depan matanya sendiri.
"Sekarang aku percaya bukan hanya kita yang hidup di bumi.
"Dunia jin,dunia hantu, dunia bunian,"
"Benda' yang merasuk cucu perempuannya itu sebenarnya jin yang sembunyikan warga emas itu,"katanya.
Jelas Rudy lagi, jin itu tidak mahu 'melepaskan' warga emas itu kerana dipercayai lelaki itu telah bertunang dengan orang bunian.
Video tersebut setakat ini telah mendapat lebih daripada 200,000 tontonan dan mengundang pelbagai reaksi netizen.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen mengatakan tempat itu 'kawasan keras' dan banyak gangguan mistik kawasan yang sama.
Menurut @adrian, dia pernah melalui kawasan itu dan diganggu makhluk yang menghuni kawasan tersebut.
Difahamkan pihak polis sudah berada di tempat kejadian dan cuba mengesan mangsa.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram