SEORANG wanita mencetuskan kekecohan apabila bertekak dengan seorang pengawal keselamatan di sebuah kondominium yang terletak di Butterworth, Pulau Pinang ketika bercuti dan menyewa 'homestay' di pusat kediaman itu baru-baru ini.
Insiden itu tular di laman media Facebook apabila wanita terbabit merakamkan detik-detik dirinya memarahi pihak pengurusan kondominium di Woodsburry Suites Butterworth kerana tidak dibenarkan untuk mendaftar masuk oleh pengawal bertugas.
Difahamkan, kekecohan itu tercetus selepas pengawal keselamatan mendakwa wanita itu lewat untuk mendaftar masuk mengikut waktu yang ditetapkan iaitu sebelum pukul 12.00 malam.
Namun wanita itu mendakwa dia sudah membuat pesanan dan mendaftar secara atas talian dengan pemilik kondominium namun tiba sedikit lewat akibat kesesakan lalu lintas yang dihadapi.
"Awak faham tak kami dari jauh tau dan jalan raya agak sesak, awak nak kami angkat kereta ke untuk sampai sini awal.
"Awak baru bangun tidur kan, saya viral kan video ni, bagitau pengurus awak tipu saya," katanya.
Mengulas lanjut isu itu, wakil pengurusan kondominium, Micheal Tan, 40, pihaknya terlebih dahulu sudah memaklumkan kepada wanita tersebut bahawa waktu mendaftar adalah bermula dari pukul 3.00 petang sehingga 12.00 malam sahaja.
Jelasnya kepada Majoriti, jika pelanggan lewat untuk mendaftar masuk, pihak pengurusan berhak untuk tidak meluluskan proses pendaftaran meskipun sudah membuat tempahan atas talian.
"Dia sampai pukul 2.30 pagi tapi saya sudah pesan bahawa waktu pendaftaran selepas pukul 12.00 malam tidak diterima.
"Pihak pengurusan sudah hantar pesanan teks ringkas melalui telefon bimbit namun mereka masih berdegil dan berkeras untuk membuat aduan di laman sesawang atas talian booking.com.
"Di situ pun kami sudah nyatakan waktu operasi pendaftaran yang sama, jadi tiada sebab untuk kami dipersalahkan," katanya.
Tangkap layar menunjukkan pesanan teks dihantar melalui Whatsapp yang menyatakan waktu pendaftaran yang perlu dipatuhi.
Tambah Micheal, wanita itu kemudiannya bertindak memecah masuk ke kawasan kondominium meskipun sudah diarahkan keluar oleh pengawal yang bertugas.
Selepas beberapa kali diusir, mereka akhirnya beredar dengan meninggalkan kecaman serta kemarahan pada pihak pengurusan.
Tentang wang tempahan kondominium itu, Michael berkata, pihaknya tidak mengetahui perkara tersebut kerana wanita terbabit berurusan dengan booking.com. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram