Marah, kecewa ambulans lewat tiba hampir sejam


  • Tular
  • Selasa, 23 Ogos 2022

Tangkap layar menunjukkan seorang lelaki yang meluahkan kemarahan beliau kepada pihak ambulans yang lewat tiba memberi bantuan.

AKIBAT ambulans lewat tiba di lokasi kemalangan, seorang penumpang lelaki yang mengalami kecederaan dilaporkan mati di lokasi kejadian.

Terdahulu, mangsa bersama seorang pemandu wanita yang menaiki Perodua Axia dilaporkan terlibat dalam satu kemalangan di Jalan Pudu menghala ke Pudu Sentral di ibu negara awal pagi Selasa.

Mangsa yang merupakan penumpang mengalami kecederaan parah di kepala dan dilaporkan mati di lokasi kejadian manakala pemandu kereta terbabit pula mengalami kecederaan dan telah dihantar ke zon merah Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

Namun, apa yang mencuri perhatian adalah kemarahan yang disampaikan oleh salah seorang penduduk awam di situ yang nyata bengang dengan bantuan lewat yang diterima daripada pihak ambulans hospital.

Difahamkan, lelaki tersebut mengatakan bahawa ambulans mengambil masa yang terlampau lama untuk tiba dan akibatnya mangsa mati di lokasi kejadian.

"Itulah kita panggil sudah berapa lama ambulans baru sampai nak dekat satu jam.

"Jangan kira bangsa ke kaum apa, ini manusia. Sekarang senang cerita sudah meninggal," katanya.

Salah seorang netizen turut berpendapat bahawa jarak lokasi kejadian dan Hospital Kuala Lumpur sepatutnya hanya mengambil masa 10 minit dan masa satu jam yang diambil dianggap tidak masuk akal.

M Aidill Fahimie berkata: "Jalan Pudu bukan jauh, tak sampai 10 minit tapi ambil masa nak dekat sejam untuk ambulans sampai, mengarut betul," katanya.

Don Cameron berkata, "Memang malang jika ambulans sampai lambat, adakah sistem kesihatan kita sudah hampir runtuh kerana pemimpin yang terlampau sibuk," katanya.

Namun, kes ini sedang disiasat oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta untuk hubungi Balai Polis Trafik Kuala Lumpur. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram