'Bina bonggol sendiri kesalahan serius,' penduduk naik angin sikap jiran pentingkan diri


  • Tular
  • Rabu, 24 Ogos 2022

Tangkap layar menunjukkan sebuah kenderaan terpaksa melalui laluan berbonggol yang sengaja dibina oleh individu tidak bertanggungjawab.

SIKAP segelintir masyarakat yang sengaja membina bonggol di kawasan rumah sendiri sememangnya satu perkara yang kurang disenangi ramai.

Binaan bonggol dengan tujuan menjaga kepentingan diri sendiri secara tidak langsung mengganggu aliran jalan raya dan mengundang bahaya khususnya mereka yang menunggang motosikal kerana boleh mengakibatkan kemalangan.

Ini kerana kebiasaannya bonggol yang dibina sendiri tidak menepati ciri-ciri keselamatan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Situasi ini yang berlaku menerusi video tular di laman sosial TikTok apabila seorang penduduk didakwa membina bonggol di hadapan rumahnya tanpa persetujuan ramai termasuk jiran di kawasannya dipercayai di Bachok, Kelantan.

Menurut Majlis Daerah Bachok, Kelantan, isu ini sememangnya menjadi satu kesalahan bagi penduduk awam yang sengaja membina bonggol atas tujuan kepentingan diri sendiri.

Pegawainya, Mat Salleh Ibrahim berkata, orang ramai boleh membuat aduan sekiranya mendapati bonggol yang dibina menyukarkan pergerakan mereka di jalan raya.

"Sekiranya binaan bonggol itu dilakukan tanpa persetujuan kejiranan, ia boleh dilaporkan pada pihak berkuasa kerana dianggap salah di sisi undang-undang.

"Namun, pemeriksaan perlu dijalankan terlebih dahulu oleh pegawai bertugas sebelum sebarang tindakan diambil terhadap si pesalah laku," katanya kepada Majoriti.

Isu tersebut turut mengundang kemarahan netizen apabila rata-ratanya menyuarakan masalah sama di ruangan komen.

Emma: "Dekat rumah aku pun ada yang buat macam ni jugak, budak pergi balik sekolah habis jalan sesak dibuatnya."

Zieraa: "Kampung pun ada yang buat macam ni jugak, kalau rendah tak apa tapi ni tinggi bukan main macam jalan tu dia yang punya."

Reddot68: "Pernah dengar Ustaz bagitahu kalau buat sendiri bonggol jalan dikira haram hukumnya, melainkan dibina oleh kerajaan."

Berdasarkan maklumat Jabatan Kerja Raya (JKR), bonggol jalan harus mengikuti garis panduan yang ditetapkan khususnya dari segi ukuran teknikal, tinggi, rendah dan lebar.

Spesifikasi yang tidak menepati garis panduan termasuklah bonggol yang dibina terlalu tinggi, tiada warna jaluran dan tiada bantuan pencahayaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram