
KERJA pembinaan jambatan baharu bagi menggantikan Jambatan Sungai Liau di Keningau, Sabah yang sebahagiannya runtuh akibat hujan lebat akan siap pada 2024, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Kurup.
Beliau berkata, kerja-kerja persediaan awal untuk membina jambatan kekal sepanjang 30 meter (m) di KM117.1 Jalan Kota Kinabalu-Keningau-Tenom telah dimulakan.
“Berdasarkan pelan kerja kontraktor, jentera yang diperlukan untuk pembinaan akan dibawa masuk ke tapak bermula awal bulan depan.
“Kerja-kerja fizikal di tapak itu dijangka bermula tidak lama lagi bagi memastikan projek pembinaan itu mengikut jadual,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu (24 Ogos).
Sebahagian daripada jambatan itu runtuh selepas hujan lebat berterusan pada Disember tahun lepas.
Arthur, yang juga Ahli Parlimen Pensiangan, berkata pembinaan itu dijangka siap pada Februari 2024.
“Adalah menjadi harapan saya agar projek ini dapat disiapkan mengikut spesifikasi dan tempoh yang telah ditetapkan agar masalah yang timbul daripada perkara itu dapat diselesaikan,” katanya lagi.
Beliau juga berkata, ketika pembinaan sedang berjalan, Jambatan Bailey akan digunakan sebagai laluan alternatif untuk menghubungkan perjalanan darat antara Keningau dan daerah pedalaman yang berdekatan Tenom.
Kerajaan Persekutuan telah meluluskan RM7.2 juta untuk pembinaan Jambatan Sungai Liau baharu.
Pembinaan jambatan galang keluli yang boleh memuatkan kenderaan yang lebih besar dan berat juga telah diluluskan.
Arthur berkata, pembinaan Jambatan Sungai Liau mencerminkan keprihatinan kerajaan Persekutuan dalam memastikan Keluarga Malaysia di Sabah mendapat perhubungan darat yang selamat dan selesa.
Jambatan Bailey dibina sebagai penyelesaian sementara untuk membolehkan lalu lintas tinggi melalui kawasan itu kecuali kenderaan berat yang seberat lapan tan atau lebih. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram