KES hilang di alam ghaib ataupun diculik bunian bukanlah satu perkara yang pelik dalam kalangan masyarakat Melayu kerana kepercayaan itu sememangnya wujud sejak dahulu lagi.
Sesetengah pihak mungkin berpendapat ia hanya mitos atau pemikiran kolot yang masih diterapkan di zaman serba moden kini, namun sehingga ke hari ini kejadian tersebut masih berlaku dan menjadi tanda tanya.
Situasi serupa boleh digambarkan menerusi perkongsian video di TikTok yang tular baru-baru ini apabila seorang warga emas dilaporkan hilang ketika masuk hutan.
Mangsa yang dikenali sebagai Wak Painah dilaporkan hilang dalam sebuah hutan di Kampung Parit Kasih, Batu Pahat Johor.
Bagaimanapun, berkat doa berlaku keajaiban apabila salah seorang anaknya dilaporkan hampir berjaya menarik emaknya keluar dari alam ghaib selepas hijab penglihatannya terbuka.
Meskipun begitu, usaha untuk membebaskan emaknya gagal setelah anaknya dikatakan berada dalam keadaan lemah ketika itu dan kini dirawat di hospital berdekatan.
Meskipun sudah masuk hari kelima, mangsa masih belum ditemui dan usaha mencari diteruskan orang ramai serta pihak polis.
Tangkap layar menunjukkan usaha mencari oleh pihak berkuasa polis dan orang kampung masih lagi teruskan.
Rata-rata netizen di laman media sosial turut bersimpati dengan nasib yang dihadapi oleh Wak Painah dan sekeluarga apabila pelbagai doa dan kata-kata semangat yang ditinggalkan di ruangan komen.
Shima7981 berkata, "Allahuakbar, moga dipermudahkan urusan mencari mak cik ni.. moga selamat semua Aamiinn."
Syasya_88 menambah, "Semoga dipermudahkan pencarian Wak Painah dan dilindungi sebarangbahaya.. semoga Wak Painah selamat."
Seorang netizen yang dipercayai penduduk kampung di mana Wak Painah hilang berkata beliau pernah terlihat akan kelibat mangsa ketika waktu senja.
"Laungkan azan sebelum waktu asar, saya nampak makcik ni ada dikawasan berdekatan dan badannya lemah.. semoga dipermudahkan urusan semuanya," katanya.
Sehingga ke hari ini, masih tiada sebarang berita lanjut mengenai kehilangan warga emas tersebut dan orang ramai masih lagi berusaha untuk menemukan mangsa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram