Dulu kata pemalas, sekarang Dr M anggap Melayu tak lagi rasa malu


  • Politik
  • Ahad, 21 Ogos 2022

Dr M hairan apabila masih ramai menyokong Najib, meskipun berdepan dengan pertuduhan rasuah.

SELEPAS menggelar Melayu sebagai mudah lupa dan pemalas beberapa tahun lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi tampil dengan persepsi buruk mengenai bangsa tersebut.

Terbaharu, bekas Perdana Menteri itu secara sinis mendakwa bahawa, orang Melayu kini tidak lagi berasa malu untuk mengangkat 'pencuri' sebagai pemimpin.

Meskipun tidak menyatakan secara langsung, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu dipercayai membuat gelaran pencuri kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dr Mahathir hairan apabila ramai pihak yang masih menyokong Najib, meskipun bekas Perdana Menteri ke-6 itu berdepan dengan beberapa pertuduhan rasuah.

"Tidak ada satu orang yang begitu berjaya menterbalikkan orang Melayu seperti Najib. Dahulu orang Melayu memandang rendah kepada orang yang mencuri.

"Mereka amat malu jika ada ahli keluarga terlibat dengan jenayah, mencuri dan sebagainya, tetapi sekarang orang Melayu tidak lagi berasa malu. Apa nak malu.

"Najib menanam pendapat bahawa apa nak malu jika mencuri. Dia bos dan bos boleh mencuri, kalau bos tak malu kerana mencuri, orang Melayu pun tak perlu malu bila mencuri," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Hantaran Dr Mahathir di laman Facebook.

Tambahnya, antara kejayaan terbesar Najib adalah menjadikan orang Melayu tidak lagi perlu berasa malu.

Katanya, ini termasuk orang Melayu yang tidak berasa malu apabila menerima wang curi, meminta wang secara percuma serta tidak membayar hutang.

"Pilih pencuri, perasuah, banduan sebagai Perdana Menteri, okay. Tak malu.

"Dunia ketawa terhadap negara Malaysia kerana tak malu dengan kelakuan yang memalukan, tak malu," jelasnya.

Tidak cukup dengan itu, Dr Mahathir menganggap kebanyakan masyarakat pada masa kini seolah-olah tidak lagi berasa malu, apabila sanggup mengampu semata-mata untuk mendapatkan wang dan jawatan.

"Ada yang sampai cium tangan, kenapa cium tangan sebab boleh dapat duit dan boleh dapat jawatan. Apa nak malu.

"Kalau tangan berbau najis, tak apa dan ada duit dalam najis. Terbongkok-bongkoklah nak cium tangan. Apa nak malu, kalau tangan bersalut tahi tetapi ada duit, okay lah... tak payah malu.

"Ramai sungguh yang tak malu. Terkenal sebagai perasuah, apa nak malu. Jadi pencuri tak apa, tak perlu malu," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram