Selangor tersungkur, TMJ sekali lagi tegur RMS


  • Podium
  • Khamis, 18 Ogos 2022

Selangor terus gagal menemui rentak kemenangan apabila tewas 0-2 kepada TFC malam tadi. — Facebook/TFC

MISI balas dendam Selangor FC yang sebelum ini ditunjukkan jalan keluar ketika aksi separuh akhir Piala FA dilihat tidak kesampaian apabila tewas 0-2 kepada Terengganu FC (TFC) dalam saingan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya, Selangor pada Rabu.

Menyangkakan ada sinar baharu selepas jurulatih interim, Mohd Nidzam Jamil mengambil alih Gergasi Merah, namun hakikatnya skuad tuan rumah dilihat masih gagal memberi saingan.

Pasukan TFC kendalian Nafuzi Zain meraih jaringan pembukaan hasil ledakan dari Habib Haroon pada minit ke-13 manakala gol kedua ditambah menerusi tandukan Manuel Ott.

Kekalahan tiga kali berturut-turut Selangor FC dalam saingan Liga Super itu bukan sahaja mendapat kecaman penyokong setianya malah mencuri tumpuan pemilik kelab bola sepak Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Usai perlawanan tersebut, TMJ menulis dalam ruangan komen laman Instagram malaysiafootballleague yang menegur cara pengerusan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Raja Muda Selangor (RMS) Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

WhatsApp Image 2022-08-18 at 11.01.01 AM (1)

Tangkap layar komen Tunku Ismail. — Instagram malaysiafootballleague

"Ketua/Bos lembik. Orang dah cakap dulu jangan dengar cakap Izhar Moslim tidak percaya. Beri dia kuasai CEO, melantik orang-orang dia termasuk beli pemain. Dulu bila tegur, dituduh dengki. Lantiklah siapa pun, selagi bos kena cucuk hidung dengar cakap puak yang ada kepentingan peribadi tidak akan ke mana. Izhar pergi dan fokus bodek Mokhzani Mahathir serta jauhkan diri dari bola sepak," tulis baginda.

Sebelum ini, Tunku Ismail juga pernah menegur individu yang berada dalam barisan pengurusan FAS, Izhar Moslim mengenai salah lakunya dalam pengurusan sehingga mengganggu kuasa RMS sebagai presiden.

Menurut baginda, Izhar melantik kroninya untuk berada dalam persatuan dan merupakan punca kepada kemerosotan Selangor FC sejak beberapa musim ini.

tmj rms

TMJ juga mahu RMS supaya mengambil tindakan segera terhadap individu berkenaan. — Facebook

Rentetan dari teguran TMJ itu, ramai penyokong Selangor bersetuju dengan baginda dan berharap akan berlaku perubahan dalam pengurusan kelab berkenaan.

"Betul Tunku. Saya dah penat maki pengurusan. Beli pemain pelik-pelik sahaja. Macam ada sesuatu dalam pembelian pemain," komen penyokong, yed.f.

"Terima kasih banyak-banyak Tunku. Harap yang tidak layak dalam pengurusan Selangor cepat-cepat berundur," tulis penyokong, Marco_rausey.

Kekalahan itu menyaksikan Selangor jatuh ke tangga kesembilan Liga Super dengan 16 mata, manakala TFC kini di tangga keempat liga dengan 23 mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram