Polis tahan pengasuh, disyaki dera anak saudara umur 3 tahun sampai mati di Kepong


  • 112
  • Rabu, 17 Ogos 2022

Suspek direman selama lima hari sehingga 20 Ogos bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001. — Gambar hiasan

POLIS menahan seorang wanita berusia 40 tahun pada Selasa kerana disyaki mendera dan menyebabkan kematian anak saudara lelakinya berusia tiga tahun dalam kejadian di Kepong, Kuala Lumpur pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, suspek bekerja sebagai pengasuh mangsa dan abangnya yang berusia lima tahun.

Menurutnya, suspek yang juga merupakan warga tempatan itu mula menjaga mangsa sejak lahir dan punca mangsa didera dipercayai kerana menangis serta membuat bising keterlaluan.

Eng Lai berkata, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul menerima panggilan Sistem MERS 999 berkenaan kematian seorang kanak-kanak di sebuah pangsapuri di Kepong kira-kira pukul 12.00 tengah hari, Isnin.

"Setibanya di lokasi, polis menemukan mangsa terbaring di dalam katil kanak-kanak lengkap berpakaian dan pemeriksaan fizikal mendapati terdapat kesan luka di dahi, mulut, hidung, kesan merah bawah mata kiri, calar dan lebam di belakang badan serta siku kanan mangsa.

"Mangsa disahkan mati oleh pegawai paramedik dari Hospital Kuala Lumpur dan polis masih menunggu hasil laporan bedah siasat," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Jelasnya, suspek direman selama lima hari sehingga 20 Ogos bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

"Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di 03-4048 2206," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

polis, tahan, ibu saudara, kanak-kanak, dera, mati