POLIS sedang menunggu laporan perubatan pihak hospital berhubung kes penderaan kanak-kanak autisme yang dilaporkan berlaku di pusat terapi berbayar di Skudai, Johor baru-baru ini.
Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat berkata, laporan perubatan terbabit penting untuk mengesahkan sama ada kanak-kanak itu benar-benar didera atau sebaliknya.
"Kertas siasatan dibuat berpandukan laporan pakar dan kita sudah rakam percakapan doktor pakar. Kita memerlukan sedikit masa untuk mendapat laporan berkenaan dalam masa terdekat dan siasatan berdasarkan laporan perubatan itu.
"Kita nak pastikan adakah kesan lebam itu disebabkan kena pukul atau dari luar (bukan dari pusat terapi tersebut) dan sebagainya. Saya sudah minta dan beri arahan kepada ketua polis daerah jika ada kesilapan berlaku, ambil tindakan segera atau buat tangkapan," katanya dalam sidang akhbar di Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, Tampoi, Johor pada Isnin.
Kamarul Zaman berkata, pihaknya juga sudah memanggil kedua-dua belah pihak melibatkan ahli keluarga mangsa dan guru di pusat terapi terbabit untuk dirakamkan percakapan.
Sejak Khamis lalu, tular di media sosial mengenai perkongsian pengguna akaun bernama Cik Puan Zetty yang mendakwa anak istimewanya menjadi mangsa dera di pusat terapi terbabit yang berada dalam sebuah universiti di Skudai.
Ibu mangsa, Nik Huzaiwati Husin, 33, mendakwa, anak sulungnya, Tuan Muhammad Uwais Abrisam, 6, dihantar untuk mendapatkan rawatan di pusat terbabit sejak November 2019 dan dipercayai didera sejak awal tahun ini. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram