11 lagi dirakam keterangan kes dera kanak-kanak di Kajang


  • 112
  • Ahad, 24 Jul 2022

Tangkap layar video tular memaparkan seorang wanita ketika mendera kanak-kanak perempuan di kediamannya.

POLIS merakam keterangan 11 individu bagi membantu siasatan kes dera melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun, di sebuah rumah di Beranang dekat Kajang, Selangor pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes tersebut.

"Seramai 11 individu telah dirakam keterangan setakat ini, perkara lain masih dalam siasatan," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Pada Jumaat, media melaporkan seorang wanita warga tempatan dan suaminya, warga Singapura berumur 28 dan 30-an ditahan bagi membantu siasatan kes terbabit.

Polis turut bertindak menyelamatkan kanak-kanak perempuan itu pada pukul 2.30 pagi Jumaat.

Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku akibat mangsa tidak suka makan nasi sebelum suspek memaksa kanak-kanak itu menelan nasi sehingga termuntah.

Selain itu, mangsa dipercayai turut dipukul dengan penyangkut baju, batang penyapu dan juga dicucuh dengan pemetik api.

Kanak-kanak perempuan itu telah dibawa Hospital Kajang bagi mendapatkan rawatan akibat kecederaan di beberapa bahagian tubuh badan.

Mangsa merupakan anak kepada warga Indonesia dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri, sebelum diserahkan di bawah penjagaan suspek sejak April lalu kerana ibu kandung tidak mampu menjaganya.

Pasangan itu kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

dera, reman, keterangan, Kajang,