Empat pendaki sesat 5 jam di Gunung Pulai


  • 112
  • Sabtu, 20 Ogos 2022

Usaha pencarian yang dilakukan pihak bomba bersama penduduk kampung. — JBPM

EMPAT pendaki ditemui selamat selepas lima jam tersesat ketika melakukan aktiviti pendakian di Gunung Pulai, Baling, Kedah pada Jumaat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Baling, Penolong Penguasa Mohd Jamil Mat Daud berkata, kesemua mangsa dipercayai mula mendaki kira-kira pukul 8 pagi sebelum tersesat ketika menuruni gunung tersebut.

Beliau memaklumkan, mangsa berusia antara 22 hingga 26 tahun kemudiannya ditemui kira-kira pukul 11.30 malam dalam keadaan keletihan disebabkan kehabisan bekalan makanan.

"Sebelum itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) di gunung itu dilakukan bermula sekitar pukul 7 malam selepas menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 6.19 petang.

"Operasi mencari dan menyelamat dilakukan segera selepas menerima aduan berhubung kejadian daripada salah seorang mangsa yang memaklumkan mereka tersesat dalam perjalanan turun ke kaki gunung," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Katanya, pemanggil memberitahu mereka masih dapat melihat sungai dan kedengaran suara azan pada anggaran ketinggian kira-kira 500 meter dari bawah.

"Anggota bersama sukarelawan bomba dan penduduk kampung yang bergerak ke atas gunung telah mula mendengar suara serta ternampak lampu mangsa yang tersesat," ujar beliau.

Bagaimanapun, katanya, usaha dijalankan untuk mencari jalan agak sukar kerana mangsa telah tersasar jauh dengan laluan turun ke bawah selain struktur muka bumi bercerun dan berbatu.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya ditemui dalam keadaan letih disebabkan kehabisan bekalan makanan pada pukul 11.30 malam dan berjaya dibawa turun ke kaki Gunung Pulai kira-kira pukul 2.30 pagi.

Mohd Jamil berkata, pihaknya bersyukur kesemua dalam keadaan selamat dan tidak ada kejadian tidak diingini berlaku.

Katanya, kesemua mangsa dari Perlis dan Kedah yang berada dalam keadaan stabil dan selamat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Mangsa dipercayai mendaki gunung tanpa khidmat malim gunung ataupun individu yang arif dengan selok belok gunung itu.

"Pendaki yang tidak arif dengan pendakian gunung itu dipercayai akan tersesat kerana tersasar dengan laluan ketika menuruni gunung.

"Laluan Gunung Pulai lebih sukar berbanding Gunung Baling kerana kecerunan lebih tinggi dan berbatu selain hutan tebal," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan mana-mana individu yang ingin mendaki supaya lebih berhati-hati dan tidak mengambil mudah sekiranya tidak arif dengan laluan di gunung itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram