
SEBUAH pusat maklumat kelip-kelip dilancarkan baru-baru ini di Bongawan, Kota Kinabalu, Sabah.
Tempat ini popular sebagai lokasi untuk memerhati kelip-kelip dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong asing.
Dimulakan oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Persatuan Belia Inspirasi Kinabalu dan disokong oleh Inap Desa Seri Serbang, pusat yang dikatakan pertama seumpamanya di negeri tersebut khusus untuk mempromosikan ekopelancongan.
Menurut UMS, projek itu dijayakan menerusi geran Program Geran Kecil Global Environment Facility (GEF) oleh United Nation Development Programme (UNDP).
“Terletak di Pantai Kenangan Muara, ia merupakan pusat maklumat yang pertama di Sabah dan dijangka menjadi tarikan dan pusat sehenti terbaharu untuk pelancong,” kata universiti itu dalam satu kenyataan pada Rabu (17 Ogos).
UMS menambah, projek itu adalah sebahagian daripada program ‘Memperkasa Belia dalam Menggalakkan Pelancongan Berasaskan Sungai Lestari di Papar dan Beaufort 2020-2022’.
“Tarikan kelip-kelip dianggap sebagai aset penting untuk pelancongan berasaskan sungai di sini.
“Ia juga diharap dapat meningkatkan potensi belia dalam usaha menjayakan produk pelancongan berasaskan alam semula jadi,” kata Ketua Penyelidikan Projek dan Pensyarah UMS, Yuzainy Janin.
Yuzainy, yang mengetuai enam penyelidik lain untuk projek itu, berkata pusat itu bukan sahaja akan menyediakan data mengenai kelip-kelip, tetapi juga menyalurkan maklumat mengenai ekosistem sungai.
“Kami juga mengalu-alukan kerjasama daripada pusat penyelidikan sama ada sektor awam atau swasta serta badan bukan kerajaan dalam memperkaya dan menambah penerangan di pusat itu.
“Pada masa sama, pemuliharaan habitat kelip-kelip adalah usaha kolektif yang memerlukan kerjasama semua pihak,” katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram