Projek Rangga dipuji, cacat penglihatan tak halang bantu rakan senasib


  • Tular
  • Khamis, 11 Ogos 2022

Tangkap layar menujukkan Rangga sedang membuat tulisan braille menggunakan mesin khas.

SEPERTI yang kita ketahui, orang kelainan upaya (OKU) penglihatan di negara ini berhadapan masalah mendapatkan maklumat dan kemudahan awam yang sesuai berikutan kurangnya penggunaan tulisan braille.

Malahan, boleh dikatakan bahan bacaan dalam tulisan khas itu begitu kurang dipamerkan di tempat awam sekali gus tidak memberi peluang kepada mereka menikmati semua fasiliti untuk golongan itu.

Sebagai contoh, kebanyakkan lif tidak mempunyai tulisan braille sehingga menyukarkan pergerakan mereka.

Meskipun mempunyai masalah penglihatan namun kekurangan yang dialami seorang insan istimewa ini tidak menjadi penghalang untuk dia membantu rakan senasibnya.

Usaha murni lelaki yang dikenali sebagai Rangga itu mendapat pujian orang awam setelah videonya tersebar, baru-baru ini.

Melalui video yang dimuat naik di aplikasi TikTok Nadiatul Farhana menunjukkan, Rangga sedang menyediakan pita tulisan braille menggunakan mesin khas untuk dilekatkan di tempat awam.

"Antara projek Mr Rangga di masa lapang.

"Letak tulisan braille di tempat yang perlu untuk memudahkan rakan-rakan OKU penglihatan,"

"Suami saya juga buta dan beliau buat inisiatif ini kerana kadang-kadang ada maklumat tambahan untuk orang seperti mereka yang perlu ditambah," tulisnya.

Video tersebut menunjukkan Rangga yang juga suami Nadiatul memasang pelekat dan menampal tulisan braille itu di beberapa tempat awam.

Setakat ini video tersebut telah mendapat 279,000 tontonan dan rata-rata warganet memuji dan mengucapkan terima kasih diatas usaha suaminya itu.

"Alhamdulillah semoga murah rezeki memudahkan urusan orang lain," kata CIKCUA.

"Alhamdulilah ada yang prihatin. Serius ini memang sangat berguna.

"Kadang-kadang kita terlepas pandang. Terima kasih, semoga ALLAH selalu mudahkan urusan puan sekeluarga," tulis anneohhaien.

Walaupun golongan OKU dilihat sebagai kelompok minoriti di Malaysia, namun golongan ini juga sewajarnya mendapat peluang yang sama seperti individu normal lain daripada segala aspek. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram