BEKAS Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh membuat laporan polis berhubung dakwaan dia membawa teman wanitanya ketika serbuan di rumah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Mei 2018.
Amar Singh berkata, laporan polis dibuat pada Jumaat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi menyiasat tuduhan yang tidak berasas itu.
Menurutnya, laporan dibuat bagi menafikan dakwaan penulis kontroversi, Raja Petra Kamaruddin di satu portal berhubung tuduhan itu.
"Tidak mungkin ada apa-apa boleh dilakukan tanpa disedari sesiapa. Lebih-lebih lagi pasukan ini baru bertemu pada hari serbuan dijalankan. Oleh itu, tidak mungkin dapat menutup sebarang konspirasi.
"Tambahan, keseluruhan proses serbuan diambil gambar dan dirakam video dari awal hingga akhir oleh pasukan bebas dari JSJ. Gambar dan video ini masih dalam simpanan JSJ.
"Tidak mungkin orang awam dapat mengelak rakaman kamera dan video ini tanpa disedari sesiapa, melainkan orang ini mempunyai 'ilmu ghaib' dan tidak kelihatan," katanya seperti yang dilaporkan media tempatan.
Menurutnya, serbuan berkenaan adalah serbuan terbesar dalam sejarah polis dan setiap barang dirampas direkodkan secara terperinci serta tiada wanita awam di situ atau sebarang barang dikeluarkan.
"Serbuan itu dijalankan bersama beberapa timbalan dan penolong pengarah polis serta kira-kira 70 pegawai dari pelbagai jabatan seperti JSJK, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Unit Tindakan Khas (UTK).
"Pasukan serbuan ditubuhkan yang terdiri daripada jabatan berbeza bagi mengelakkan dakwaan palsu dibuat kelak," katanya.
Beliau berkata, bangunan yang diserbu itu dilengkapi lebih 100 kamera litar tertutup (CCTV) dan lebih 50 wartawan berkumpul di lobi, yang juga satu-satunya pintu keluar ketika itu.
"Tiada wartawan melihat seorang wanita awam berjalan keluar dari serbuan itu dengan beg pakaian besar seperti didakwa. Jelas sekali dakwaan Raja Petra palsu sama sekali.
"Beberapa pegawai kanan lain akan turut membuat laporan polis terhadap Raja Petra berhubung dakwaan itu," katanya.
Sementara itu, beliau turut menafikan dakwaan beliau berhijrah ke Kanada dan memaklumkan penulis blog itu dirinya masih di Malaysia dan akan terus tinggal di negara ini sehingga akhir hayatnya.
Pada Mei 2018, Amar mengetuai serbuan di beberapa premis yang dikaitkan dengan bekas Najib selepas Barisan Nasional (BN) tewas dalam pilihan raya umum ke-14 pada Mei 2018. — Harian Metro
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram