PROSES pinjaman pemain (on loan) merupakan transaksi biasa dalam dunia bola sepak profesional, tidak kira sama ada saingan bola sepak domestik ataupun di luar negara.
Bagi kelab yang ingin meminjam pemain, proses ini mampu mengurangkan perbelanjaan kelab kerana kos membeli pemain jauh lebih mahal.
Majikan kelab yang memberi pinjaman pula mampu mengurangkan masalah pengumpulan pemain berlebihan, di samping dapat meningkatkan minit permainan pemain-pemain mereka.
Kebiasaannya, kelab utama tidak akan membenarkan kelab meminjam untuk menggunakan pemain tersebut sekiranya kedua-dua pasukan bertemu sesama sendiri dalam tempoh pinjaman.
Bagaimanapun, terdapat beberapa kes seperti di Selangor yang mana pemainnya, Nik Sharif dibenarkan turun mewakili Terengganu pada saingan separuh akhir Piala FA melibatkan kedua-dua kelab tersebut pada Sabtu.
Pada masa sama, status sebagai pemain pinjaman ke pasukan lain tidak semestinya membawa maksud seseorang pemain bola sepak itu tidak mencapai tahap kualiti bersama pasukan lamanya.
Hal ini kerana terdapat beberapa pemain yang mengejutkan para penyokong apabila mereka menyerlah apabila dipinjamkan ke kelab baharu.
Ini merupakan 5 pemain berstatus pemain pinjaman yang cukup menyerlah ketika bersama kelab pinjaman masing-masing:
Syafiq dipanggil semula ke JDT setelah hanya lima bulan bersama pasukan KDA FC. — Facebook/ JDT
1. Syafiq Ahmad
Kelab asal: Johor Darul Takzim (JDT)
Kelab pinjaman: Kedah Darul Aman FC (KDA FC)
Syafiq menyerlah seawal dua perlawanan pertama bersama pasukan KDA FC apabila berjaya merekodkan gol pertamanya pada perlawanan menentang Kuala Lumpur pada Mac lalu.
Pemain berusia 27 tahun tersebut sekali lagi mencetak gol ketika aksi Kedah menentang Melaka United pada Mei lalu sekali gus tampil sebagai penjaring berpotensi tinggi skuad kenari.
Bagaimanapun, Syafiq yang berada di Kedah selama lima bulan tiba-tiba dipanggil semula untuk kembali ke pangkuan JDT selamat tamat cuti aksi antarabangsa tanpa sebarang penjelasan rasmi.
Ketika itu, Syafiq menjadi watak penting buat skuad Sang Kenari di bawah bimbingan Aidil Sharin Sahak dengan diturunkan dalam kesebelasan utama dalam kebanyakan perlawanan.
Selepas mengharungi sembilan perlawanan Liga Super bersama Kedah, dia telah merekodkan sebanyak dua gol dan tiga bantuan jaringan.
Jordan tidak boleh bermain menentang Terengganu atau Terengganu II sepanjang menyertai KL City. — Agensi
2. Jordan Mintah
Kelab asal: Terengganu FC (TFC)
Kelab pinjaman: KL City FC
Pada Jun lalu, Terengganu FC (TFC) mengumumkan bahawa penyerang kelahiran Ghana, Jordan Mintah bakal menamatkan baki saingan Liga Super musim ini dengan beraksi bersama skuad ibu kota, Kuala Lumpur City FC.
Mengikut syarat yang dipersetujui oleh kedua-dua kelab, KL City FC tidak boleh menggunakan khidmat Mintah dalam perlawanan menentang TFC atau TFC II sepanjang tempoh pinjaman ini.
Tidak lama selepas dipinjamkan, Mintah sudah mula menunjukkan ketajamannya di hadapan gawang sekali gus menjaringkan gol buat KL City FC pada aksi menentang KDA FC, Julai lalu.
Mintah masih terikat bersama pasukan berpangkalan di Pantai Timur itu sehingga penghujung musim 2023. Setelah tamat tempoh pinjaman itu, Mintah akan kembali semula ke pangkuan TFC.
Dengan menyertai KL City FC, Mintah yang sebelum ini beraksi bersama skuad simpanan, TFC II dalam saingan Liga Perdana juga dapat meraih pengalaman beraksi dalam saingan Piala AFC.
Nik berjaya mencetak tiga gol menerusi 26 penampilannya di Liga Super. — Agensi
3. Nik Akif Syahiran Nik Mat
Kelab asal: Terengganu FC (TFC)
Kelab pinjaman: Kelantan United FC (KUFC)
Nik Akif yang mula menyarung jersi TFC sejak 2020, namun namun kehadiran trio import, Petrus Shetembi (Namibia), Habib Haroon (Bahrain) dan Manuel Ott (Filipina) memaksa pemain itu lebih banyak memanaskan bangku simpanan.
Bersama KUFC, Nik berjaya mencetak tiga gol menerusi 26 penampilannya di Liga Super.
Terengganu Football Club (TFC) kemudiannya merestui pemergian arkiteknya, Nik Akif Syahiran Nik Mat ke pangkuan negeri kelahirannya bagi baki saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Tonggak tengah skuad kebangsaan bawah 23 Tahun (B-23) itu bakal menyarung jersi pasukan KUFC selepas rundingan saat akhir antara kedua-dua belah pihak berakhir dengan keputusan positif ketika jendela perpindahan pemain kedua tempoh hari.
Pertahanan Fadhli sukar dibolos lawan. — Agensi
4. Fadhli Shas
Kelab asal: JDT
Kelab pinjaman: Melaka United
Selepas lapan tahun bersama JDT, Fadhli kembali menemui sentuhan sebenar apabila dipinjamkan ke Melaka United musim ini.
Sejak dipinjamkan ke Melaka, Fadhli Shas sering menjadi pilihan ketua jurulatih untuk mengetuai benteng pertahanan.
Di bahagian pertahanan, Fadhli dapat merantaikan pergerakan lawan sehingga gawang Melaka United sukar dibolosi pasukan lawan.
Di samping itu, dia juga mengundang cemas gol lawan melalui beberapa tandukan berbahaya dalam beberapa perlawanan.
Pemain kacukan Malaysia-England ini menjadi nadi tengah dalam skuad Sang Badak. — Agensi
5. Stuart Wilkin
Kelab asal: JDT
Kelab pinjaman: Sabah
Pemain kacukan Malaysia-England ini boleh beroperasi bahagian sayap dan tengah.
Stuart menghadiahkan satu gol kepada pasukan Sabah bersama dua assist pada 13 penampilannya bersama skuad The Rhinos.
Menjadi pilihan utama ketua jurulatih Sabah, Datuk Ong Kim Swee, Stuart kini dilihat menjadi nadi tengah dalam skuad Sang Badak bersama Baddrol Bakhtiar.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram