SEORANG rentung dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan berhampiran Jambatan Permas Jaya, Lebuh Raya EDL, Pasir Gudang menghala ke Bakar Batu, Johor pada Isnin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Mohd Suhaimi Jamal berkata, kemalangan membabitkan tiga kereta iaitu jenis BMW, Perodua Myvi dan Honda City serta sebuah van pekerja kilang jenis Nissan.
Katanya, mangsa yang rentung tersepit di bahagian pemandu kereta BMW.
"Seramai 13 anggota dari BBP Larkin dibantu sembilan anggota BBP Johor Jaya ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 6.10 pagi.
"Setibanya anggota di tempat kejadian didapati berlaku kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis BMW terbakar 90 peratus, van pekerja kilang (terbakar 90 peratus) dan Perodua Myvi (terbakar 60 peratus) manakala Honda City tidak terbakar akibat kemalangan jalan raya.
"Anggota bertindak membuat pemadaman dengan menggunakan dua aliran salur bantu mula dan air tangki pam jentera serta membantu mengeluarkan mangsa," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Jelasnya, mangsa yang dikeluarkan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, pemandu Honda City dan Perodua Myvi masing-masing lelaki berusia 34 dan 52 tahun selamat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram