SERAMAI 50 individu ditahan atas kesalahan melakukan aktiviti pendakian tanpa permit sah di Hutan Simpanan Kekal (HSK) Semangko, Hulu Selangor pada Sabtu.
Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS), Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata, kesemua individu berusia antara 21 hingga 50 tahun itu ditahan dalam operasi yang dilakukan bermula jam 8 pagi.
Katanya, operasi di laluan pendakian Gunung Gap HSK itu dijalankan hasil maklumat awam mengenai aktiviti pendakian besar-besaran yang dianjurkan individu persendirian.
“Semakan dibuat ke atas semua pendaki berdasarkan data permit sah yang diperoleh daripada Pejabat Hutan Daerah Hulu Selangor (PHDHS).
“Hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan 50 individu atas kesalahan memasuki hutan simpan tanpa permit sah,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambah Ahmad Fadzil, seramai 19 pegawai Pejabat Hutan Daerah Hulu Selangor (PHDHS) dan dua anggota polis dari Balai Polis Kuala Kubu Bharu terlibat dalam operasi yang berakhir pada 6 petang itu."Semua ditahan kemudian dibebaskan dengan jaminan polis, manakala kesalahan memasuki HSK tanpa permit sah boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan)," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram