Tiga sesat daki Gunung Keriang


  • 112
  • Jumaat, 04 Mac 2022

PIHAK bomba (kiri) tiba di lokasi kejadian untuk menjalankan usaha mencari ketiga-tiga mangsa. — Facebook

TIGA orang lelaki dikhuatiri sesat selepas gagal menemui laluan keluar ketika melakukan aktiviti pendakian di Gunung Keriang, Alor Setar, Kedah pada Jumaat.

Menurut Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin, pihaknya menerima panggilan berhubung perkara itu pada 4.59 petang Jumaat.

"Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan berhubung kecemasan terkandas di gunung dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar ke lokasi berkenaan.

"Maklumat awal, tiga mangsa itu mendaki gunung berkenaan pada pukul 6 pagi bersama rakan mereka yang lain. Rakan-rakan mereka yang lain sudah turun ke kaki gunung namun ketiga-tiga mangsa masih tidak turun,” ujarnya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah Wan Mohd Hamizi, Malim Gunung juga melakukan pencarian awal sebelum ketibaan pihak bomba bagi mengesan kesemua mangsa namun gagal.

"Kesemua mangsa masih boleh dihubungi dengan talian telefon. Pihak bomba yang sampai melakukan pencarian tetapi belum menjumpai ketiga-tiga mangsa yang masih belum diketahui umur mereka.

"Pasukan Multi Skill Team (MUST) dikerah ke lokasi untuk melakukan operasi pencarian dan bantuan pencahayaan juga turut digunakan. Operasi pencarian masih berjalan,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

JBPM, Kedah, Gunung Keriang, sesat, pendakian