Khalid Ibrahim kini di ICU, sangat sensitif terhadap persekitaran


  • Primer
  • Sabtu, 23 Jul 2022

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkhidmat sebagai Menteri Besar Selangor ke-14 dari 2008 hingga 2014

BEKAS Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kini dilapor sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

Perkara tersebut dimaklumkan pentadbir Facebooknya yang memberitahu bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang itu kini 'sensitif' dengan persekitaran luar dan pihak hospital telah mengenakan prosedur ketat kepada pelawat.

Pentadbir Facebooknya juga turut mengucapkan terima kasih pada mereka yang mendoakan dan ahli keluarga beliau turut memohon agar diberikan privasi kepada mereka untuk berhadapan dengan situasi tersebut

“Bagi pihak YBhg Tan Sri Abdul Khalid, kami merakamkan ucapan terima kasih atas doa yang tidak putus-putus daripada rakan-rakan dan seluruh rakyat Malaysia untuk kesembuhan Tan Sri.

“Kami juga menerima banyak permintaan daripada rakan-rakan terdekat yang ingin berkunjung untuk memberi semangat dan sokongan serta hasrat itu amat kami hargai.

“Tan Sri berada dalam keadaan yang sangat sensitif dengan persekitaran luar, jadi pihak hospital telah mengenakan prosedur operasi standard (SOP) yang sangat ketat.

“Bilangan pengunjung adalah terhad dan hanya ahli keluarga diutamakan.

“Mari kita sama-sama mendoakan agar Tan Sri kembali sihat dan semoga keluarga diberi kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian besar ini,” tulisnya di halaman Facebook pada Sabtu (23 Julai).

Abdul Khalid dilaporkan telah dimasukkan ke hospital kerana jangkitan paru-paru.

Beliau berkhidmat sebagai menteri besar Selangor ke-14 dari 2008 hingga 2014. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram