POLIS menahan pengasas bersama Kelab Komedi Crackhouse berhubung insiden seorang wanita yang didakwa menghina Islam, dalam satu persembahan di kelab itu baru-baru ini.
Difahamkan, Rizal Van Geyzel ditahan kira-kira pukul 1.30 tengah hari Khamis oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Lelaki berusia 39 tahun itu akan ditempatkan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di Kuala Lumpur selama semalaman.
Lelaki tersebut dipercayai akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman oleh pihak polis pada Jumaat pagi.
Penahanan lelaki itu dilakukan susulan beberapa laporan polis yang dibuat terhadapnya.
Bukit Aman dijangka mengeluarkan kenyataan mengenai penahanan itu tidak lama lagi.
Pada Rabu, pasangan yang dikritik kerana didakwa melakukan perbuatan tidak senonoh secara terbuka di sebuah kelab komedi dan kemudian memuat naik videonya di media sosial,telah didakwa di mahkamah.
Siti Nuramira Abdullah, 26, dan teman lelakinya V. Alexander Navin, 38, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan di dua mahkamah berasingan.
Siti Nuramira didakwa mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan, atau perasaan permusuhan, benci atau niat jahat, atau menjejaskan pemeliharaan keharmonian atau perpaduan, atas alasan agama.
Di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Navin didakwa dengan dua pertuduhan kerana membuat dan berkongsi siaran yang menyinggung di akaun Instagramnya pada 5 Jun dan di akaun YouTubenya pada 16 Jun.
Kedua-dua pertuduhan difailkan mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram