KES seorang wanita yang dipercayai melakukan perbuatan menghina kesucian agama Islam di sebuah kelab sekitar Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur, baru-baru ini akan dirujuk ke Bukit Aman.
Jurucakap Polis Kuala Lumpur berkata, kes tersebut akan diambil alih oleh Unit Siasatan Jenayah Terancang (USJT) daripada siasatan polis Petaling Jaya.
"Kes ini dirujuk ke Bukit Aman sebab ia melibatkan isu agama. Ia diambil alih oleh USJT," katanya kepada Majoriti.
Pada masa sama, Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) turut melakukan siasatan terhadap wanita terbabit.
|
Rakaman tular seorang wanita didakwa menghina agama Islam di sebuah kelab di TTDI.
Pengarahnya, Datuk Mohd. Ajib Ismail berkata, tindakan boleh diambil mengikut di bawah Akta 559 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Wilayah Persekutuan) 1997, Seksyen 7 iaitu menghina, atau menyebabkan dipandang hina agama Islam.
“Jika didapati bersalah pelaku boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Terdahulu Majoriti melaporkan umat Islam di negara ini digemparkan dengan penularan satu rakaman video menunjukkan seorang wanita yang mengaku menghafal 15 juzuk al-Quran didakwa menghina agama Islam di sebuah kelab di TTDI.
Wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai Siti Amira Abdullah dan berasal dari Kuala Kangsar itu didakwa mempermainkan agama Islam semasa membuat persembahan komedi di kelab tersebut.
Siti Amira atau dikenali sebagai Amy membuat kejutan apabila dia yang tampil sopan mengenakan tudung dan baju kurung Kedah tiba-tiba menanggalkan pakaian itu hadapan khalayak ramai.
Dia dilihat mengenakan baju seksi bertali halus (spaghetti strap) berwarna hitam dan skirt singkat paras paha berwarna coklat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram