Kedai basikal, pakaian antara 8 premis terbakar malam raya di Kuala Terengganu


  • 112
  • Ahad, 10 Jul 2022

Kedai basikal yang mengalami kebakaran pada malam raya, manakala tiada sebarang barangan dapat diselamatkan. — Facebook/ Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim

SEORANG peniaga menanggung kerugian hampir RM1 juta apabila dua kedainya musnah dalam kebakaran yang membabitkan lapan deretan kedai di Jalan Hiliran dekat Kuala Terengganu, Terengganu, pada Sabtu malam.

Mangsa, Nik Mohd Kamil Abu Bakar, 37, berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10.15 malam itu, dia baru sahaja menutup kedainya dan masih berada di kawasan berdekatan sebelum dimaklumkan kedainya terbakar.

"Saya tutup kedai dalam pukul 10 malam sebab esok nak raya, tutup awal sikit, lepas itu saya jalan-jalan di kedai dekat sini nak cari baju anak, dalam 15 minit lepas tu ada orang beritahu ada api dalam kedai basikal saya.

"Saya bergegas ke kedai dan nampak api dah penuh di bahagian belakang kedai dan tak sempat nak selamatkan apa-apa pun sebab api marak dengan cepat," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Katanya, satu lagi kedainya yang menjual pakaian terletak bersebelahan, turut dijilat api dan hanya sejumlah kecil barangan dapat diselamatkan.

"Saya baru ambil stok barangan baharu sebab nak buka satu lagi kedai basikal di Gong Badak lepas raya ini, sekali dengan stok baharu habis terbakar. Ujian besar untuk saya pada malam raya ni, saya reda sajalah," katanya.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira 10.40 malam dan bergegas ke tempat kejadian.

"Ketika sampai di lokasi, kedai basikal berkenaan sudah musnah sepenuhnya dijilat api (lokasi kebakaran bermula). Punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

Kira-kira 30 anggota bersama empat jentera dikejarkan ke lokasi kejadian dan bomba mengambil masa kira-kira 30 minit bagi mengawal kebakaran. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram