PASUKAN Selangor FC bukan sahaja dimalukan di atas padang apabila tewas kepada pasukan Melaka United 0-2 pada perlawanan Liga Super pada Selasa lalu, malah turut mendapat 'hadiah istimewa' daripada kelab penyokong, UltraSel.
Mana tidaknya, kemenangan itu sekali gus mengakhiri kemarau kemenangan skuad Hang Tuah ke atas pasukan Red Giants yang pada kali terakhir dilakar pada musim 2018.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Hang Jebat tersebut menyaksikan skuad Sang Kancil kembali mempertaruhkan kelibat penyerang import sensasi, Ifedayo Olusegun yang sebelum ini terpaksa direhatkan ekoran kecederaan.
Percaturan pasukan Melaka ternyata membuahkan hasil apabila Ifedayo tampil garang dengan meledakkan dua gol ke gawang lawan pada minit ke ke-39 dan ke-56.
Lebih menambah garam ke luka penyokong-penyokong Selangor, pemain dari Nigeria itu merupakan bekas penyerang berbisa pasukan mereka yang menamatkan kontraknya bersama skuad merah putih itu pada musim lalu.
Mengikut laporan media, pemenang Kasut Emas Liga Super dua musim berturut-turut itu meninggalkan pasukan Selangor FC kerana tuntutan kenaikkan gajinya tidak dapat dipenuhi pengurusan pasukan Selangor.
Sebagai rekod, pemain berusia 31 tahun tersebut telah menyumbangkan sejumlah 50 gol buat pasukan Selangor sepanjang perkhidmatannya pada musim 2019 sehingga musim 2021.
Kekalahan itu menyebabkan UltraSel meluahkan kekecewaan mereka dengan menghadiahkan satu laungan sorakan kepada pemain Selangor yang sedang melepaskan lelah sejurus tamat perlawanan tersebut.
Video pertama memaparkan aksi UltraSel sedang menghadiahkan chant kepada pasukan Selangor. — FACEBOOK
Video kedua dirakam dari kerusi penyokong. Jelas kelihatan kepenatan skuad Red Giants — FACEBOOK
Dalam dua video berkenaan insiden tersebut yang dikongsi pada laman Facebook Buletin Bola Liga (BBLM), jelas nampak kekecewaan pada muka penyokong-penyokong yang tidak langsung berasa simpati dengan pemain-pemain Selangor yang baru sahaja selesai bertarung.
Lirik lagu menyebut " Oh Selangor, apa yang kau buat? Oh Selangor, apa yang kau buat? Empat tahun main macam setan, itu pun kau tak perasan, Oh Selangor, apa yang kau buat?".
Setakat ini, Selangor berada di kedudukan ke-tujuh saingan Liga Super dan akan bertemu pasukan Kuala Lumpur pada Jumaat ini.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram