Lelaki maut terkena tembakan senapang rakan di Kajang


  • 112
  • Rabu, 06 Jul 2022

Terdapat beberapa kesan tembakan peluru penabur pada badan mangsa, dipercayai daripada senjata api yang dibawa rakannya itu.

SEORANG lelaki maut selepas disyaki terkena tembakan senapang yang terpelanting daripada tangan rakannya, di kawasan hutan berhampiran Sungai Gabai di Batu 18 di Kajang, Selangor pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan insiden seorang lelaki berusia 32 tahun terkena tembakan di lokasi itu pada pukul 7.15 pagi.

"Siasatan awal mendapati, mangsa bersama tiga rakannya masuk ke lokasi itu untuk ke kawasan kebun durian di atas lereng bukit yang terletak kira-kira dua kilometer perjalanan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohd Zaid berkata, siasatan awal turut mendapati, ketika dalam perjalanan, seorang rakan mangsa yang membawa senapang patah telah tergelincir di lereng bukit.

"Senapang berkenaan kemudian terpelanting daripada tangannya lalu berlaku tembakan," katanya.

Menurutnya, mangsa yang berada di bahagian belakang pada jarak kira-kira tiga meter terkena tembakan itu dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Hasil siasatan dilakukan bersama Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati, terdapat beberapa kesan tembakan peluru penabur pada badan mangsa dipercayai daripada senjata api yang dibawa rakannya itu.

"Semakan dilakukan mendapati senjata api terbabit dilesenkan atas nama bapa saudara kepada salah seorang daripada rakan mangsa," katanya.

Mohd Zaid berkata, susulan itu, pihaknya menahan tiga rakan mangsa berusia antara 36 hingga 43 tahun bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Redzuan Mat Salleh di talian 013-7854100 untuk membantu siasatan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram