Dengar bisikan ibu sembah berhala, pesara guru maut ditikam anak sulung di Melaka


  • 112
  • Selasa, 05 Jul 2022

Lokasi kejadian pembunuhan seorang pesara guru yang ditikam anak sulungnya di Kampung Paya Luboh, Tangga Batu pada Selasa. — Facebook

SEORANG wanita warga emas maut selepas dipercayai ditikam di leher oleh anak kandungnya berusia 40-an dalam kejadian di Kampung Paya Luboh, Tangga Batu, Melaka pada Selasa.

Kejadian kira-kira jam 3 petang Selasa disedari jiran selepas salah seorang anak perempuan mangsa menjerit meminta pertolongan.

Mangsa yang juga pesara guru ditemui di dalam bilik tidur kediamannya dalam keadaan berlumuran darah.

Mangsa yang baharu kematian suami kira-kira sebulan lalu disahkan maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah selepas ditikam menggunakan sebilah pisau berukuran 26 sentimeter.

Saksi yang juga jiran berdekatan, Jamaliah Md Jamil, 35, berkata, meskipun mengetahui sejarah suspek yang juga penganggur itu, dia mengakui terkejut dengan kejadian berkenaan memandangkan lelaki berkenaan tidak pernah menunjukkan tanda-tanda bersikap berang.

“Memang tahu dia penagih tetapi tidak pernah nampak dia mengamuk ke apa sebab dia memang baik, ramah juga dengan jiran-jiran dan orang sekeliling memang kenal dia.

292087546_531387025404497_9209396408058085378_n

Lokasi kejadian pembunuhan seorang pesara guru yang ditikam anak sulungnya di Kampung Paya Luboh, Tangga Batu pada Selasa. — Facebook

“Suspek ni anak sulung dan memang tinggal berdua sahaja dengan ibunya (mangsa) tetapi adik beradik yang lain selalu juga datang, dan ayahnya juga baru sahaja meninggal lebih kurang sebulan lepas,” katanya seperti dipetik Astro Awani.

Dalam pada itu, Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata, suspek mendakwa bertindak sedemikian selepas terdengar bisikan yang menyuruhnya menikam mangsa kerana ibunya dikatakan menyembah berhala.

“Atas sebab itu, suspek dikatakan masuk ke bilik ibunya yang baru sahaja selesai mandi sebelum menikam leher kiri dan kanan mangsa menggunakan pisau memotong sayur.

“Suspek kemudiannya dikatakan telah menyerahkan pisau itu kepada ibunya, sebelum ibunya bertindak membuang pisau itu melalui tingkap di biliknya,” katanya menurut laporan Melaka Hari ini.

Katanya, suspek pernah menerima rawatan psikiatri di Hospital Melaka dan mempunyai dua rekod berkaitan dadah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram