Diseret 25 meter, 'rider' maut dirempuh di Melaka


  • 112
  • Selasa, 05 Jul 2022

Lokasi kejadian penunggang motosikal maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Bachang Pasir Putih, Melaka. — Sinar Harian

SEORANG penunggang motosikal maut selepas kenderaan ditunggangnya terbabas dan terseret sejauh 25 meter sebelum dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Bachang Pasir Putih, Melaka pada Selasa.

Dalam kejadian pukul 8.30 pagi itu, mangsa yang bekerja sebagai kontraktor syarikat telekomunikasi berusia 32 tahun maut di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, sebelum kejadian itu, lelaki tersebut menunggang motosikal Yamaha LC135 dari arah Lebuh AMJ Bachang menghala ke arah lampu isyarat Bachang, Jalan Tun Fatimah.

Menurutnya, bagaimanapun setibanya di lokasi kejadian berhampiran sebuah premis menjual peralatan logam, motosikal mangsa hilang kawalan sebelum terjatuh dan terseret sejauh 25 meter.

"Pada masa sama sebuah kereta jenis Perodua Alza dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu merempuh mangsa.

"Akibat pelanggaran itu mangsa mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pemandu kereta berusia 59 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan manakala mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Kemalangan, Motosikal, Melaka, Maut, Terseret