Mangsa dihempap kelapa retak tulang rusuk, dirawat di Hospital Pulau Pinang


  • Massa
  • Isnin, 27 Jun 2022

Tangkap layar kejadian tular seorang pembonceng wanita dihempap buah kelapa di Teluk Kumbar, pada Ahad. — Facebook

SEORANG pembonceng motosikal berdepan detik cemas selepas terjatuh daripada kenderaan itu akibat dihempap sebiji buah kelapa sebesar bola keranjang ketika melalui Jalan Teluk Kumbar di Balik Pulau, Pulau Pinang, pada Ahad.

Kejadian dipercayai berlaku pada pagi Ahad apabila kelapa itu jatuh di atas kepalanya ketika motosikal yang dinaiki mangsa melalui jalan menghala ke George Town dari Teluk Kumbar.

Insiden tersebut turut dirakam menerusi satu rakaman kamera papan kemuka kereta seorang pengguna jalan raya.

Rakaman video berdurasi 28 saat itu menunjukkan mangsa terjatuh dari motosikal selepas kelapa itu menimpanya ketika motosikal itu sedang bergerak.

Penunggang motosikal terbabit sempat mengawal kenderaan dan berhenti di tepi jalan.

Orang ramai di sekeliling cuba memberi amaran kepada pemandu lain supaya memperlahankan kenderaan mereka ketika penunggang itu membantu mangsa.

Memetik laporan Kosmo!, mangsa, Anita Yahaya, 59, dikatakan mengalami kecederaan retak pada tulang rusuk dan bahu kiri.

Abangnya, Shaari Yahaya, 60, memberitahu, adiknya kini stabil dan masih dalam pemantauan doktor.

“Dia masih boleh bercakap dan kini berada di wad Hospital Pulau Pinang,” katanya ringkas.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz berkata, beliau bersimpati dengan nasib mangsa yang tinggal di Taman Emas.

“Saya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat dan meminta agensi berkaitan mengambil tindakan segera berhubung perkara itu,” katanya.

Azrul menerusi Facebook berkata, kebanyakan pokok kelapa di sepanjang jalan itu adalah hak milik persendirian. Pokok yang berisiko tinggi mendatangkan bahaya kepada pemandu dan orang ramai sudah ditebang sebelum kejadian.

"Saya menghubungi anak mangsa yang memaklumkan ibunya masih mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang.

“Saya harap kecederaan itu tidak begitu serius,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram