Mayat budak 11 tahun lemas ditemui tersangkut pukat di Pantai Bersih


  • 112
  • Selasa, 28 Jun 2022

Pasukan bomba dan penyelamat terpaksa menghentikan operasi mencari mangsa kerana cuaca gelap pada Isnin. — Sinar Harian

KANAK-KANAK lelaki yang dikhuatiri lemas selepas mandi bersama tiga rakannya berhampiran jeti Pantai Bersih, Bagan Ajam, Pulau Pinang ditemui terapung pada Selasa.

Mayat, Muhammad Mikhaeil Muqmin Abdullah, 11, ditemui tersangkut pada pukat oleh nelayan berhampiran lokasi dia dilaporkan hilang kira-kira pukul 9.15 pagi.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Seberang Perai Utara berkata, sebaik menerima laporan penemuan berkenaan sepasukan anggota bergegas ke tempat kejadian.

"Mayat kanak-kanak itu ditemukan dalam keadaan terapung di kedudukan 3.7 meter dari pesisiran Pantai Bersih.

"Mayat mangsa dibawa ke Jeti Nelayan Bagan Ajam oleh bot APM dan diserahkan kepada anggota polis Butterworth untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Jurucakap berkenaan berkata, pengecaman mayat dilakukan oleh ahli keluarga mangsa dan mayat dibawa ke Hospital Seberang Jaya, Seberang Prai Tengh untuk tindakan lanjut.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat yang digerakkan bermula pukul 7.30 pagi itu ditamatkan sekitar pukul 9.45 pagi.

Pada Isnin Sinar Harian melaporkan, seorang kanak-kanak berusia 11 tahun dikhuatiri lemas ketika mandi berhampiran Jeti Pantai Bersih, Pulau Pinang pada Isnin.Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram