KEMUNCULAN sebuah mesin yang didakwa mampu merawat pesakit kanser seperti didakwa dalam sebuah rakaman video yang tular baru-baru ini menarik perhatian banyak pihak.
Video yang dimuatnaik di TikTok dengan nama Master Hadzrin itu menunjukkan pesakit yang dikatakan pesakit kanser paru-paru menggunakan mesin tersebut oleh seorang lelaki.
Cahaya biru akan keluar daripada sebuah alat dan selepas tiga kali rawatan, pesakit yang sebelum ini terlantar sudah mampu untuk duduk.
Perkara itu bagaimanapun mendapat reaksi berbeza daripada warganet.
Memetik perkongsian pemilik akaun Twitter, @Jatikhwan, beliau meluahkan rasa tidak puas hati dan meminta agar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil tindakan segara terhadap isu tersebut.
"Tolonglah pergi hantar penguatkuasa, siasat individu ini dan lain-lain yang mendakwa mampu menyembuhkan kanser. Kasihan orang awam. Apa benda main tembak cahaya boleh sembuh kanser. Kalau betul memang boleh menang Anugerah Nobel," katanya.
Kenyataan beliau itu turut mendapat sokongan daripada warganet lain yang rata-rata bersetuju dengan pendapatnya.
Masing-masing membantah dan berpendapat mesin tersebut tidak masuk akal serta tidak dipercayai.
Pengguna media sosial juga mengharapkan agar pesakit kanser lebih memilih untuk mendapatkan rawatan di pusat rawatan dan pakar perubatan terlatih.
Dalam pada itu, Pakar Onkologi Pusat Rawatan Sunway Velocity, Kuala Lumpur, Dr Hafizah Zaharah Ahmad menegaskan supaya orang ramai khususnya mana-mana pesakit supaya tidak mudah terpedaya dengan tipu helah pasaran.
Dr Hafizah Zaharah berkata, terdapat pelbagai produk palsu yang boleh dijumpai dan tentu sahaja sasarannya merupakan pesakit atau warga emas.
"Pesakit seharusnya melakukan pemeriksaan dan berbincang dengan doktor bagi mengetahui langkah seterusnya. Setelah dikenal pasti, barulah rawatan susulan yang bersesuaian akan dilakukan.
"Tidak perlu membazir menggunakan produk yang bukan disarankan oleh KKM atau mendapatkan kelulusan untuk digunakan dalam bidang perubatan," jelasnya kepada Majoriti.
Mengulas lanjut, Dr Hafizah Zaharah berpegang teguh dengan pendirian beliau sambil mempersoalkan sekiranya produk tersebut terbaik, namun mengapa Institut Kanser Negara (IKN) tidak menggunakannya.
"Cuba buat pemeriksaan di IKN mengenai jumlah pesakit kanser yang ada di Malaysia. Sekiranya mesin ini benar-benar berfungsi tentu sahaja semua pesakit kanser di Malaysia akan pulih sepenuhnya.
"Kerajaan tentu sudah memberi saranan kepada pesakit untuk menggunakan produk tersebut sekiranya ia benar-benar memberi impak seperti yang diharapkan," tambah beliau.
Dalam perkembangan sama, seorang pengguna Twitter lain yang dikenali sebagai @dilladontdodat mendakwa, pesakit dalam video terbabit merupakan bapa kepada kawan baiknya yang bernama Azie.
Ciapan yang dikatakan keluarga mangsa berasa kecewa dengan tindakan lelaki itu. — Twitter
Difahamkan,video tersebut diambil tanpa kebenaran keluarga pesakit.
"Lelaki itu merupakan anak kepada kawan ayah. Mereka memang rapat. Lelaki itu menjual pelbagai barangan mahal dengan alasan dapat merawat penyakit.
"Saya tidak mempercayai rawatan itu dan membiarkan sahaja ibu menguruskan memandangkan mereka kawan ayah. Gambar duduk itu sebenarnya diambil apabila Tenaga Nasional Berhad (TNB) membuat pemeriksaan elektrik dan ayah mampu duduk selepas mendapat pertolongan fisioterapi.
"Mereka sanggup datang ke rumah biarpun pada waktu malam dan kami memang tidak mempercayai rawatan itu, tetapi ayah biarkan sahaja. Setelah muncul video ini, perkara itu membuatkan kami marah," jelas Azie dalam ciapan itu.
Lelaki sama turut dikatakan pernah menjual alat penapis air bernilai RM5,000, namun tidak memberikan sebarang hasil positif. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram