Budak Sindrom Down mungkin terambil dadah 'ice' dalam kereta bapa sepupu — Polis


  • 112
  • Selasa, 21 Jun 2022

Budak tiga tahun ini berada dalam keadaan kritikal selepas pemeriksaan doktor mendapati terdapat kandungan dadah disyaki jenis Methamphetamine dalam badannya. — Facebook

KANAK-KANAK lelaki berusia tiga tahun sembilan bulan yang kini dalam keadaan kritikal kerana terdapat kandungan dadah di dalam badannya, kemungkinan ‘terambil’ lebih dadah di dalam kereta milik bapa sepupunya ketika dibawa ke lokasi penagihan dadah, petang Ahad.

Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, susulan itu kereta milik bapa sepupu kanak-kanak itu, yang berusia 30 tahun, dirampas untuk siasatan lanjut.

"Siasatan lanjut terhadap kereta Proton Saga milik suspek akan dilakukan oleh pihak forensik,” katanya kepada pemberita selepas melawat kanak-kanak tersebut yang kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota Bharu, Kelantan pada Selasa.

Pada Isnin, media melaporkan kanak-kanak yang berasal dari Kampung Sri Bintang, Kuala Krai berada dalam keadaan kritikal selepas pemeriksaan doktor mendapati terdapat kandungan dadah disyaki jenis Methamphetamine berdasarkan ujian air kencing, di dalam badannya.

Muhamad Zaki yang menyifatkan kejadian yang menimpa kanak-kanak yang menghidap Sindrom Down itu sebagai sesuatu yang malang berkata, siasatan polis mendapati keluarga kanak-kanak itu memang menghadapi banyak kesukaran.

Selain itu, katanya, emak kanak-kanak itu sendiri menghidapi penyakit kanser tahap empat.

Beliau berkata susulan kejadian itu, polis telah menjalankan Ops Khas di kawasan Kampung Sri Bintang pada malam Selasa dan menahan sembilan individu, di samping merampas 102 biji pil kuda. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram