MENJELANG perayaan Aidiladha yang bakal tiba pada kurang tiga minggu lagi, isu bekalan lembu dan kambing yang dikatakan tidak mencukupi untuk menampung permintaan ibadah korban mengundang kerisauan ramai pihak.
Tidak hanya itu, kekurangan bekalan itu juga didakwa disebabkan oleh prosedur import yang 'disukarkan' oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) hingga mengundang pelbagai masalah terutama bagi import bekalan dari Indonesia, Australia dan Thailand.
Wakil penternak, Muhamad Raziz Rahim turut menyuarakan keluhan atas perkara itu yang mana turut menyatakan bahawa golongan penternak sangat terkesan dengan prosedur yang menyusahkan daripada JPV.
Katanya, tidak hanya prosedur import bekalan yang menyusahkan, tetapi permohonan permit perjalanan juga tidak selaras di setiap negeri.
"Selama ini orang tidak tahu penternak sangat terbeban dengan prosedur yang dikenakan JPV yang mana bukan sahaja memakan masa tetapi juga menelan belanja yang besar.
"Sebagai contoh, antara prosedur kalau mahu import perlu jalani kuarantin 28 hari, perkara ini sebenarnya perlu dilihat semula oleh JPV yang mana ia menelan belanja makanan yang tinggi dan itu belum lagi ditambah dengan kos selepas itu," katanya kepada Majoriti.
Penternak merasakan isu permit perjalanan antara negeri negeri menyusahkan untuk memindahkan lembu.
Isu permit membingungkan
Muhamad Raziz yang juga Pengurus Pembangunan Perniagaan Naim Beef berkata, isu permit perjalanan ini sangat membingungkan penternak yang mana setiap negeri mempunyai syarat dan keperluan berbeza untuk memohon permit tersebut.
Jelasnya lagi, perkara ini sudah lama disuarakan oleh penternak supaya JPV menyelaraskan satu prosedur operasi standard (SOP) yang terpakai di semua negeri tetapi hal itu seperti tidak diendahkan.
"Kami semua terpaksa berdepan dengan syarat berbeza untuk memohon permit perjalanan di setiap negeri. Sebagai contoh di Johor, mereka minta laporan sampel darah sebagai salah satu syarat permohonan, ia sangat menyulitkan terutama jika ada pembeli yang mahu bekalan dengan segera.
"Di Selangor contohnya pula meletakkan syarat bahawa perjalanan penghantaran bekalan ternakan hidup perlu dilakukan walaupun untuk dalam negeri, semua SOP di setiap negeri berbeza-beza dan kami yang pening kepala," ujarnya.
Bekalan lembu dikatakan tidak mencukupi.
Masalah kroni
Sementara itu, individu yang mesra disapa Mamu itu juga mengatakan bahawa ada satu perkara yang menjadi duri dalam daging di sektor penternakan negara iaitu masalah kroni.
Kongsinya, isu ini juga sudah lama berlaku yang mana terdapat perbezaan kasta dalam 'layanan' JPV buat mereka (kroni) dan penternak lain.
"Di saat kami penternak disusahkan, JPV memberi akses mudah kepada kroni mereka, bagaimana sektor penternakan mahu maju bila ada pihak dapat layan emas, dan dipermudahkan urusan mereka bila mahu import atau mohon permit sebagai contoh.
"Malah, bila ada geran atau bantuan buat penternak, susah untuk kami mohon, kalau ada tanah atau kandang di bawah JPV yang kosong, semasa kami mohon, mereka kata sudah ada orang tetapi ia masih juga tidak diusahakan," kongsinya.
Jelasnya lagi, JPV perlu berkhidmat dengan penuh integriti dan berlaku adil kepada semua penternak tanpa ada sikap pilih kasih.
"Takkan mahu tunggu kami ambil tindakan baru mahu buat sesuatu," tambahnya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram