Warga asing serang Exco P.Pinang sampai patah kaki sudah dicekup


  • 112
  • Ahad, 19 Jun 2022

Jagdeep berada di sebuah restoran apabila seorang lelaki warga asing tidak dikenali menghampirinya dan menolaknya sehingga terjatuh pada Jumaat lalu.

SEORANG lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung insiden Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo cedera dipercayai akibat diserang dalam kejadian Jumaat lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu, dan suspek kini direman selama dua hari bagi membantu siasatan.

"Ya saya sahkan polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes itu," katanya namun enggan mengulas lanjut berhubung kes tersebut kerana dalam siasatan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, Jagdeep berada di sebuah restoran di Tanjung Bungah, di George Town apabila seorang lelaki dipercayai warga asing tidak dikenali menghampirinya dan kemudian menolaknya sehingga terjatuh.

Susulan kejadian itu, ahli politik berusia 51 tahun tersebut mengalami kecederaan patah pergelangan kaki kirinya dan kini dirawat di sebuah hospital swasta di George Town. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram