Pengurus KFC mohon maaf, wanita akan terima semula pulangan wang


  • Massa
  • Jumaat, 21 Jan 2022

WANG wanita yang mendakwa tidak dapat tempahan makanan di sebuah restoran, akan dipulangkan dalam tempoh 14 hingga 21 hari lagi. —Gambar hiasan

SESALAN seorang wanita yang tidak menerima pesanan makanan akhirnya berbayar, apabila wangnya bakal dikembalikan dalam tempoh 14 hingga 21 hari lagi.

Amalina Yahaya berkata, dia menggunakan perbankan atas talian menerusi aplikasi restoran KFC, bagi membayar tempahan makanannya pada Khamis.

"Tapi kalau guna apps macam Touch 'n Go eWallet tu dalam tempoh 24 jam sudah boleh dapat," katanya kepada Majoriti.

Terdahulu, dia kesal apabila perkhidmatan restoran KFC Bangi Utama, dekat Bangi, Selangor tidak memuaskan, selepas pesanan makanan untuk tengah hari dan bekalan anaknya ke sekolah tidak diterima.

Amalina berkata, pesanan itu dilakukan seawal jam 8 pagi disebabkan kesibukannya pada hari tersebut.

"Saya isi order online (tempahan atas talian) dan minta delivery (penghantaran) jam 11 pagi. Jam 11.45 pagi saya terima call (panggilan) dari KFC Bangi Utama cakap tak dapat hantar.

"Teruk sangat servis. Anak saya nak pergi sekolah dah jam 12 tengah hari ni," katanya.

Menyifatkan sikap kakitangan di restoran tersebut sebagai tidak profesional, Amalina berkata, dirinya diperlekehkan ketika mengadu mengenai masalah tersebut kepada restoran itu.

"Bila saya cakap, senangnya awak cakap macam tu. Orang KFC tu sinis gelakkan saya.

"Saya tak share (kongsi) dekat Facebook, tapi bila saya cakap dengan manager (pengurus) dia, saya hambur semua. Sangat tidak profesional," katanya.

Pada jam 8 malam Khamis, katanya, pengurus restoran itu tampil membuat permohonan maaf kepadanya menerusi panggilan telefon, setelah aduan dilakukan pada laman web dan pusat khidmat pelanggan KFC.

"Saya harap tiada lagi pelanggan yang teraniaya," katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

KFC, Amalina Yahaya, Bangi Utama, Bangi, KipMall,